Hakim Danish bersedia membuka lembaran baharu di GP Indonesia selepas melalui hujung minggu yang mencabar pada GP Jepun di Mobility Resort Motegi minggu lalu.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mahu memanfaatkan pengalaman yang diperoleh di Motegi untuk memberikan aksi lebih kompetitif di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, yang bakal menjadi pentas pusingan kedua siri jelajah Asia Kejuaraan Dunia Moto3 2026 pada hujung minggu ini.

Hakim Danish Sedia Bangkit Di GP Indonesia
Walaupun masih dalam proses pemulihan kecederaan pada bahagian bahu susulan tiga insiden kemalangan yang dialaminya di GP Jepun, Hakim Danish kekal fokus untuk kembali memberikan persembahan terbaik dan meneruskan kutipan mata dalam kejuaraan.
Mandalika bukanlah litar asing buat pelumba kelahiran Terengganu itu apabila beliau pernah beraksi di venue berkenaan ketika menyertai Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lalu.
Pengetahuan terhadap susun atur serta karakter litar itu akan menjadi antara aset penting dalam usaha Hakim Danish dan pasukan untuk mendapatkan tetapan jentera terbaik, khususnya ketika sesi latihan bebas dan kelayakan.
“Saya mahu melupakan sepenuhnya episod kemalangan di Jepun minggu lalu. Apa yang berlaku di Motegi sudah pun berlalu dan ia menjadi pengajaran berguna buat saya untuk terus melangkah ke hadapan.”
“Pada minggu ini kami akan menghadapi perlumbaan di GP Indonesia di Litar Mandalika. Saya sendiri pernah berlumba di litar ini ketika menyertai Asia Talent Cup kira-kira empat tahun lalu, jadi saya sudah mempunyai sedikit pengalaman mengenai karakter litar ini.”
“Litar ini mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan juga mempunyai bahagian yang agak teknikal, terutama di sektor pertama dan sektor terakhir yang menampilkan selekoh-selekoh tajam.”
“Jadi, saya perlu meningkatkan lagi kelajuan dan prestasi di bahagian tersebut. Mengenai keadaan bahu, saya mahu fokus dengan sesi fisioterapi untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum beraksi di litar minggu ini.”

“Sudah tentu saya sangat bersemangat untuk kembali berlumba dan memberikan yang terbaik pada minggu ini di Mandalika demi menghadiahkan keputusan membanggakan buat pasukan serta peminat di tanah air,” tambah Hakim Danish lagi.
Selepas mengumpul 105 mata, Hakim Danish kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 2026. Dengan baki saingan musim yang semakin penting, fokus utama Hakim Danish adalah untuk terus mengutip mata, mengekalkan kedudukan dalam kelompok terbaik kejuaraan.