Pada tahun lalu Awal Ashaari telah membuka sebuah kedai kopi idamannya bersama seorang rakan niaga.

Bagaimanapun, tidak sampai setahun, jodoh Awal dan bisnes itu tidak berpanjangan.

Baca Juga:

Beliau mengambil keputusan untuk tidak terbabit dalam bisnes yang diusahakan bersama sejak Disember lalu, lapor Harian Metro.

Menurutnya, ‘perpisahan’ itu kerana kecewa dengan proses perniagaan yang didakwa tidak dilaksanakan dengan jujur.

Menerusi temu bual Awal dengan Harian Metro, beliau kini menuntut hak yang sepatutnya diterima sepanjang hampir lapan bulan terbabit dalam perniagaan kedai kopi yang beroperasi di Shah Alam, Selangor itu.

“Kedai kopi ini adalah satu usaha sama yang dibuat di atas persetujuan dua pihak, tapi ia tidak dilaksanakan dengan jujur sehingga membuatkan saya berkecil hati dan ambil keputusan untuk mengundur diri.

“Dengan keputusan ini, saya hanya ingin menuntut hak yang sepatutnya diberikan kepada saya. Selama ini saya mengambil sikap berdiam diri kerana ingin perkara ini diselesaikan secara baik, tapi tidak mendapat sambutan sehingga seperti biasalah saya terpaksa menggunakan peguam untuk menuntut hak.

“Sekarang ini semuanya masih dalam proses perbincangan antara peguam kedua belah pihak. Tapi saya baru dapat tahu daripada peminat yang kedai itu sudah tiada. Saya pun tak tahu situasi kedai itu sekarang kerana saya memang sudah lama tidak berhubung dengan individu itu,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau berasa amat kecewa apabila minat mendalamnya terhadap kopi telah diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya berikan sepenuh hati untuk usaha sama ini dan sumbangan yang sewajarnya, tapi sebaliknya yang berlaku. Jadi saya pun enggan panjangkan isu ini dan ambil keputusan untuk tidak terbabit dan berdiam diri.

“Sebelum itu saya sudah bertemu dengannya untuk keluar dari perniagaan ini dan saya cuma tuntut hak saya. Tapi sampai hari ini saya belum terima sehingga terpaksa minta bantuan pihak guaman,” katanya.

Terdahulu, Awal menyatakan kopi dekat dengan dirinya kerana berkaitan dengan kisah penyatuan cinta bersama isterinya, Scha Alyahya.

Sewaktu masih bergelar pasangan kekasih, mereka berdua selalu meluangkan masa berjumpa di sebuah kedai kopi di Bangsar.

Sumber