Pihak Darsa Fried Chicken (DFC) mengeluarkan memo rasmi berhubung kesilapan laungan azan Maghrib lebih awal daripada waktu sepatutnya.
Menerusi memo rasmi itu, pihak pengurusan DFC Puncak Alam menyatakan pada 17 Mac lalu laungan azan dikumandangkan pada pukul pukul 7.26 malam, tiga minit lebih awal daripada waktu sebenar Maghrib bagi kawasan Kuala Selangor adalah pada pukul 7.29 malam berdasarkan rujukan rasmi dari JAKIM.
Baca Juga:
- Tular Gambar Restoran Darsa Fried Chicken Sudah Tutup, Ini Respons Wakilnya
- DarSA Fried Chicken Mohon Maaf Komen ‘Type C’
- YouTuber Cina Ini Cuba Ayam DFC Dan Netizen Pula Yang ‘Geram’ Tengok
“Kami mengambil maklum bahawa kesilapan ini telah menyebabkan pelanggan kami berbuka puasa lebih awal daripada waktu sepatutnya. Kami dengan penuh rasa bertanggungjawab memohon maaf atas kekhilafan ini dan amat menghargai kesedaran serta keprihatinan pelanggan yang telah memaklumkan perkara ini kepada kami.
“Sehubungan itu, kami ingin menasihatkan pelanggan yang telah berbuka pada waktu tersebut untuk menggantikan (qadha’) puasa bagi mematuhi hukum syarak. Kami juga telah mengambil langkah-langkah pembetulan bagi memastikan perkara ini tidak berulang, termasuk menyemak dan menyelaraskan waktu azan dengan jadual rasmi solat,” kata pihak Pengurusan DFC Puncak Alam.
Dalam masa sama pihak cawangan itu juga menghargai kepercayaan para pelanggan dan berkomitmen untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pelanggan. Segala kesulitan amat dikesali, dan kami berterima kasih atas pemahaman serta sokongan orang ramai.