DarSA Fried Chicken atau DFC mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka kerana komen ‘type c’.

‘Type c’ seringkali digunakan oleh segelintir pihak merujuk kepada bangsa Cina. Dan DFC akui mereka membuat kesilapan dalam membalas komen netizen di media sosial.

Baca Juga:

Segalanya bermula apabila ada netizen merasakan harga makanan yang dijual DFC agak mahal, malah lebih mahal daripada KFC.

Kemudian DFC membalas: “Tuan tengok list harga ala carte semata mata atau keseluruhan? Kena tengok keseluruhan baru tahu mahal ke berpatatutan.

“Type C tengah cuba main bermacam sentimen buruk terhadap DarSA Fried Chicken. Kita jangan mudah terpedaya selagi tak datang cuba sendiri.”

Komen tersebut menerima banyak kritikan daripada netizen yang menganggap pentadbir media sosial DFC sebagai tidak profesional dan mengeluarkan komen berbaur rasis.

Salah seorang netizen mengingatkan DFC bahawa, dalam dunia perniagaan, tidak seharusnya bersikap rasis kerana peniaga seharusnya mengalu alukan kedatangan pelbagai bangsa dan agama.

Tidak lama selepas itu DFC membuat kenyataan maaf secara rasmi. Pihak DFC menegaskan bahawa pegawai media sosial mereka mungkin hilang fokus ketika menjawab komen kerana terlalu banyak komen yang berunsur dengki mahu menjatuhkan mereka.

DarSA menulis: “Permohonan maaf atas kesilapan dalam menulis/menjawab komen.

“Kami memohon maaf dan mengakui ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan. Mungkin terlalu banyak komen yang berunsur menjatuhkan sedikit sebanyak megganggu fokus admin kami.

“Maka kami telah memutuskan untuk tidak menjawab apa-apa isu selepas ini untuk mengelakkan kesilapan yang berulang. Kami hanya akan menjawab tentang isu mengenai operasi dan perkara berkaitan yang tidak melibatkan pihak lain.

“Kami mengalu-alukan semua pelanggan kami di pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama. Semoga Malaysia yang kita kasihi ini aman dan damai.

“Pihak pengurusan DarSA Fried Chicken sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi restoran pertama kami yang baru buka pada 29 April lalu. Doakan, cawangan DarSA Fried Chicken yang ke dua sedang menyusul.

“USAHA MILIK KITA, KEJAYAAN MILIK ALLAH

“Bersama membangun ekonomi Negara dan Ummah.”

Berdasarkan tinjaun kami di kemaskini media sosial DarSA Fried Chicken, rata rata ramai pelanggan yang memberikan sokongan kepada kedai makanan segera yang baru dibuka tersebut.

Malah netizen turut menganggap DarSA Fried Chicken kini menjadi pilihan mereka untuk menggantikan KFC.