Sebuah berita yang mengejutkan dalam industri politik tanah air pada pagi ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan serta-merta.

Difahamkan pengosongan kerusi tersebut tidak disertakan bersama sebarang sebab. Beliau dilaporkan telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan sah diterima pada 13 Disember lalu.

“Inti pati surat tersebut berbunyi saya, Datuk Johari bin Abdul, dengan ini memaklumkan kepada yang Berhormat Datuk Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri N22 Gurun, yang saya wakili berkuat kuasa secara serta-merta,” katanya.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan DUN Kedah.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana. Tuan-tuan dan puan-puan telah pun berikan kerjasama yang luar biasa, kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.

Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani sebelum ini dilaporkan menjadi antara calon disenaraikan Pakatan Harapan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang akan bersidang buat kali pertama esok pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai PRU15, sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil PH menang di Kedah.

Sementara itu, Juhari ketika dihubungi, mengesahkan sudah menerima surat berkenaan yang kemudian sudah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pengosongan kerusi DUN Gurun adalah sah. Saya sudah maklumkan kepada SPR negeri untuk tindakan selanjutnya, di pihak saya sudah tidak ada apa-apa (tindakan),” katanya.

Sumber