Ikon Manchester City, David Silva mengejutkan dunia bola sepak apabila mengumumkan kepulangannya ke kancah bola sepak profesional pada usia 40 tahun.
Bekas pemain tengah Sepanyol itu yang pernah menikmati tempoh gemilang selama sedekad bersama Manchester City dengan pelbagai kejuaraan, telah menandatangani kontrak untuk menyertai kelab Liga Perdana Hong Kong, Supreme Sha Tin.
David Silva Buat ‘Comeback’
Dalam satu perkembangan yang tidak dijangka ramai peminat, David Silva memutuskan untuk kembali beraksi selepas lebih tiga tahun meninggalkan kancah bola sepak profesional.
Beliau pada asalnya menamatkan karier gemilangnya selepas mengalami kecederaan lutut serius ketika beraksi bersama Real Sociedad, namun tarikan untuk menyahut cabaran baharu di Asia ternyata terlalu sukar untuk ditolak.
Berita itu disahkan oleh kelab baharunya yang meluahkan keterujaan selepas berjaya mendapatkan salah seorang pemain paling banyak memenangi trofi dalam sejarah bola sepak moden.
View this post on Instagram
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Instagram rasmi mereka, kelab tersebut mengumumkan: “Yo! Memang gila! Kami secara rasminya mengumumkan bahawa pemain tengah legenda Sepanyol bernombor 21, David Silva, secara rasmi telah menyertai Supreme Sha Tin!”
Silva akan memulakan semula rutin dalam persekitaran bola sepak profesional itu dalam masa terdekat, namun pihak kelab memaklumkan bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
Kemas kini di media sosial kelab itu turut menjelaskan: “David Silva akan tiba di Hong Kong tidak lama lagi untuk menyesuaikan diri, menyertai sesi latihan bersama skuad dan membina kecergasan ke tahap terbaik sebelum membuat penampilan sulung di atas padang.”
“Nantikan! ‘Founding Members’ kami memang bertuah kali ini! Anda akan mendapat akses eksklusif untuk menyaksikan sesi latihan, selain peluang bergambar secara bersemuka dengannya!”