Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyita sebanyak 157 buah basikal pelbagai jenis menerusi Tindakan Khas Pengusaha Basikal Tanpa Lesen di sekitar kawasan Jalan Kuantan, Jalan Temerloh, dan Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa pada Khamis.
Menurut hantaran Facebook (DBKL), operasi khas tersebut dijalankan berikutan tindakan pengusaha aktiviti penyewaan basikal yang beroperasi secara haram dan dikendalikan oleh warga asing.
Selain beroperasi tanpa lesen sah, pihak terlibat dikesan meninggalkan peralatan serta basikal di tempat awam untuk kegunaan pengunjung taman.
Hasil pemantauan DBKL turut mendapati beberapa pengusaha sengaja meninggalkan basikal-basikal yang rosak di kawasan lapang, bawah pokok, belakang premis perniagaan, tandas awam, serta surau tanpa membuat pembersihan atau pelupusan secara berperingkat.
Perbuatan ini telah menimbulkan kacau ganggu dan mengancam kebersihan serta keselesaan persekitaran kawasan rekreasi berkenaan.
Dalam operasi yang melibatkan pemeriksaan ke atas tujuh pengusaha basikal tersebut, pihak berkuasa menyita pelbagai jenis basikal dewasa dan kanak-kanak, termasuk barangan yang ditinggalkan di tempat awam. Kesemua aset yang disita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan penyimpanan dan tindakan dokumentasi lanjut.
Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Secara keseluruhannya, operasi tersebut berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau provokasi. Pihak DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan bersasar seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan ramai bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Orang awam yang mempunyai sebarang aduan atau maklum balas disaran untuk menyalurkannya menerusi pautan rasmi aduan DBKL.