Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempunyai sebarang obligasi untuk menyalurkan dana kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mahupun KL City.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bagi menjawab bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang juga bekas presiden KLFA memohon 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL disalurkan kepada KLFA dan KL City.
Baca Juga:
- Khalid Samad: Permainan Politik Sebabkan KL City Kucar-Kacir
- Liga Super: Isu Tunggakan Gaji Tak Halang KL City Tewaskan Selangor
- 7 Bulan Tidak Dibayar Gaji, Tonggak KL City Jadi Rebutan
“Perlu diingatkan hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang daripada cukai dibayar rakyat.
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota,” katanya.
Zaliha berkata, DBKL sentiasa bersedia membantu dan menghargai usaha KLFA serta KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur.
“Saya turut berbangga dengan pencapaian yang ditonjolkan selama ini serta melihat potensi besar dan masa depan cemerlang bagi pasukan KL City,” tambahnya.
Sebelum ini, Khalid Samad mendakwa isu tunggakan gaji yang dialami pasukan ketika ini berpunca dari dana dari DBKL yang tidak diberikan kepada pasukan bagi menghadapi saingan musim ini.
“Kita telah minta wang dari penaja utama kita iaitu DBKL sebelum saingan musim ini bermula. Akan tetapi saya mendapat maklumat bahawa wang tidak akan diserahkan selagi saya bergelar presiden KLFA.
“Maka dengan itu, pada bulan Mac saya telah letak jawatan sebagai presiden. Langkah ini saya ambil kerana nak pastikan duit masuk, gaji pemain dibayar dan lesen kelab tidak ditarik balik.
“Kemudian surat sokongan penuh dari DBKL dikeluarkan dan selepas itu duit sebanyak RM3 Juta dimasukkan untuk selesaikan gaji musim lepas. Bukan gaji untuk tahun ini.
“Hingga saat ini, kelab belum dapat walaupun satu sen dari mereka. Saya dimaklumkan bahawa ada individu yang mahu menjadi presiden, tidak mendapat jawatan itu.
“Dan selagi mana Encik X ini tidak menjadi presiden, satu sen pun tidak akan diberikan kepada kelab. Atas sebab kepentingan politik, maka suasana dalam KL City menjadi semakin muram,” kata Khalid Samad.