Dalam usaha memelihara warisan kampung Melayu di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai di Sungai Penchala untuk ditetapkan sebagai zon kampung tradisi.

Tiga perkampungan yang dikenal pasti bagi pelaksanaan inisiatif itu ialah Kampung Sungai Penchala, Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan yang kesemuanya terletak dalam kawasan Parlimen Segambut.

Sekiranya pemilik tanah bersetuju dengan cadangan penetapan berkenaan, projek pembangunan pada masa hadapan di kawasan tersebut akan tertakluk kepada kawalan perancangan yang ketat merangkumi ketinggian bangunan, kepadatan pembangunan serta reka bentuk seni bina, petik The Star.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata ketiga-tiga kampung berkenaan bersama Kampung Segambut telah pun diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Beliau berkata kewujudan pembangunan bertingkat tinggi di kawasan terbabit telah mendorong semakan semula bagi menilai sama ada bangunan sedia ada dan guna tanah masih selari dengan ciri-ciri kampung tradisi.

“Status kampung tradisi akan menentukan had ketinggian pembangunan masa hadapan serta jenis kediaman yang boleh dibina.

“Kita memulakan proses ini dengan menjalankan kajian serta kaji selidik terhadap pemilik tanah. Sebahagian penduduk mungkin bersetuju, manakala sebahagian lagi mungkin tidak mahu tanah mereka dimasukkan ke dalam zon kampung tradisi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Penchala, semalam.

Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini, sambil menambah kajian tersebut akan menentukan kawasan yang benar-benar sesuai untuk pengezonan kampung tradisi.

“Sebarang cadangan perubahan akan memerlukan pindaan terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).

“Kita menjangkakan pameran awam akan diadakan pada Mei 2027, manakala pewartaan pelan tempatan yang dipinda disasarkan pada Februari 2028,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud yang turut mengiringi Yeoh berkata penduduk akan diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mengenai cadangan penetapan tersebut menerusi sesi libat urus yang akan dianjurkan DBKL.

Beliau berkata status Tanah Rizab Melayu di kawasan berkenaan akan kekal, manakala pengezonan yang dicadangkan bertujuan mewujudkan garis panduan perancangan bagi memandu pembangunan masa hadapan.

“Perunding telah dilantik untuk melaksanakan kajian ini dengan sesi libat urus turut dirancang bagi memastikan penyertaan penduduk,” katanya sambil memaklumkan kajian tersebut dijangka siap pada Februari tahun hadapan.

Dalam kenyataan berasingan, DBKL memaklumkan kajian itu akan dilaksanakan menerusi pelan kawalan mikro bagi menilai ciri-ciri kampung sedia ada, pembangunan semasa, kapasiti infrastruktur, kepentingan pemilik tanah serta tekanan pembangunan khususnya di sepanjang jalan utama.

Kampung Sungai Penchala terletak dalam kawasan Tanah Rizab Melayu Sungai Penchala seluas 303.71 hektar, namun kajian tersebut akan mengenal pasti lot-lot khusus yang sesuai untuk penetapan berkenaan.

DBKL menegaskan bahawa cadangan itu bukan bertujuan menghalang pembangunan, sebaliknya untuk mengimbangi pemeliharaan warisan dengan keperluan pembangunan semasa.

Menurut kenyataan itu lagi, kepentingan pemilik tanah yang tidak bersetuju dengan cadangan pengezonan berkenaan, termasuk cadangan pembangunan mereka, tetap akan dipertimbangkan tertakluk kepada dasar perancangan, kesesuaian tapak serta keperluan teknikal.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Jati Penchala, Muharani Mat Junus berkata penduduk mahukan pembangunan yang seimbang antara kemajuan dan keperluan komuniti setempat.

Beliau berkata kesesakan lalu lintas serta kekurangan tempat letak kereta merupakan antara kebimbangan utama penduduk dan masalah tersebut dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya tidak ditangani segera.