Trend “panjat papan tanda” atau struktur awam yang tinggi telah menjadi satu isu yang berulang dan sering tular di Malaysia dan juga di tempat lain, terutamanya di kalangan anak muda.

Baru-baru ini, pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara berkongsi yang mereka mengambil maklum mengenai satu hantaran di aplikasi TikTok yang memaparkan tiga individu bertindak memanjat struktur papan tanda jalan serta tiang lampu.

DBKU Ambil Tindakan Tegas, Penjara Dan Denda RM1,500 Menanti 'Pendaki' Papan Tanda Jalan
Sumber Gambar: FB DBKU

Bagi pihak DBKU, mereka memandang serius isu tersebut kerana membabitkan keselamatan diri serta merosakkan harta awam dan imej bandar itu sendiri.

“DBKU memandang serius tindakan sedemikian kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah boleh merosakkan harta awam serta mencemar imej bandar raya Kuching.”

Oleh itu, DBKU mengambil kesempatan untuk memberi peringatan orang awam bahawa perbuatan menampal sebarang bahan seperti pelekat, poster dan sebagainya pada papan tanda jalan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 22(1)(b),Local Authorities (Cleanliness) By-laws,1999.

Berikut adalah denda yang dikenakan kepada individu yang didapati bersalah:-

“Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan ini boleh didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 22(2) dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sebanyak RM1,500.00 dan denda tambahan sebanyak RM3,000.00 bagi kesalahan berikutnya atau penjara selama sembilan (9) bulan bagi setiap kesalahan berikutnya.”

DBKU mengesahkan akan membuat laporan polis berhubung tindakan tidak sopan ini. Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah undang-undang ketenteraman awam.

DBKU memandang serius tingkah laku yang melanggar adab masyarakat ini dan menegaskan tiada kompromi akan diberikan. Pihak DBKU mengingatkan semua pihak agar menjaga tingkah laku dan menghormati kemudahan awam.

Ini penting demi memastikan Kuching kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat, dan berdaya huni.