Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengeluarkan kenyataan rasmi menzahirkan kekecewaan berhubung premis perniagaan yang masih berdegil meminggirkan pengunaan bahasa kebangsaan pada papan premis perniagaan mereka.

“Isu yang kembali tular dalam media sosial baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa masih ada pihak yang sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan serta mencabar kedaulatan bahasa rasmi negara demi kepentingan perniagaan.

Baca Juga:

“Tindakan mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan ini merupakan satu bentuk pelanggaran nyata terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tunggak jati diri negara,” petik kenyataan DBP.

Menurutnya lagi, semua pihak diingatkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan premis perniagaan bukan merupakan satu pilihan, tetapi merupakan satu kewajipan yang perlu dipatuhi oleh setiap pengusaha perniagaan.

Mengikut peraturan sedia ada di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bahasa kebangsaan mestilah dipaparkan secara jelas dengan saiz tulisan yang lebih besar dan diletakkan pada kedudukan yang lebih utama berbanding dengan bahasa-bahasa lain.

“Pihak kami mendapati masih ada pemilik premis yang memberikan keutamaan kepada bahasa asing sehingga membelakangkan jati diri kebangsaan.

“Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini tidak boleh lagi diterima sama sekali atas alasan mahu mengejar kepentingan perniagaan semata-mata.

“Kegagalan berulang ini menunjukkan bahawa pendekatan nasihat dan bimbingan yang diberikan selama ini telah diremehkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu DBP mendesak semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengambil tindakan dan penguatkuasaan yang paling keras menyeluruh dengan segera.

Tiada lagi ruang rundingan atau tempoh nasihat harus diberikan kepada pemilik premis yang telah terbukti melanggar syarat lesen iklan mereka.

DBP juga memohon kerjasama daripada orang ramai agar terus melaporkan sebarang pelanggaran bahasa yang dikesan di kawasan awam supaya tindakan tegas dapat diambil oleh pihak yang berkuasa.