Baru-baru ini, sebuah hantaran di aplikasi Threads telah menjadi tular apabila seorang pengguna dari luar negara memuat naik gambar restoran Kenny Rogers Roasters di Manila, Filipina.

Hantaran tersebut mendapat perhatian meluas kerana ramai netizen dari Amerika Syarikat menyangka jenama ayam panggang terkenal itu sudah lama bungkus dan lenyap dari muka bumi.

Reaksi Terkejut Netizen Luar Negara

‘Dekat US Dah Lama Bungkus’ – Minah Salleh Terkejut Kenny Rogers Masih Meriah Di Asia

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh penulis bernama Paige, dia meluahkan rasa pelik namun teruja melihat jenama yang dianggap gagal di negara asalnya masih gagah beroperasi di luar negara.

Sambil berkongsi sekeping gambar restoran tersebut, dia menulis, “Saya suka apabila jenama Amerika yang gagal masih wujud di luar negara. Macam, apa awak buat di sini Kenny? Saya ingatkan awak dah mati!”

Kenyataan santai ini mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen antarabangsa dan Asia. Bagi masyarakat Barat, cawangan terakhir Kenny Rogers di Amerika Syarikat dikatakan telah ditutup lebih 10 tahun lalu di sebuah medan selera berhampiran Los Angeles. Namun bagi masyarakat di Asia Tenggara, jenama ini bukan sahaja masih hidup, malah terus rancak menjadi pilihan seisi keluarga.

Diselamatkan Oleh Jutawan Malaysia

Di sinilah netizen Malaysia mula masuk ke ruangan komen dan mendedahkan satu fakta kebanggaan yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat luar.

Jenama yang diasaskan pada tahun 1991 oleh penyanyi muzik country lagenda, mendiang Kenny Rogers bersama bekas gabenor Kentucky, John Y. Brown Jr. ini sebenarnya telah lama ‘diselamatkan’ oleh syarikat dari Malaysia.

Seorang pengguna Threads dari Malaysia, Amirul Idham, meninggalkan komen ringkas yang cukup padu dengan berkata, “Kenny Rogers kini milik Berjaya Group. Dah 15 tahun Kenny Rogers tutup di Amerika.”

Untuk rekod, Berjaya Food Berhad yang diterajui oleh tokoh korporat terkenal, Tan Sri Vincent Tan telah mengambil alih sepenuhnya hak francais seluruh dunia bagi jenama Kenny Rogers Roasters sekitar tahun 2008.

Langkah strategik perniagaan inilah yang membolehkan jenama tersebut terus kekal relevan dan dikembangkan dengan pesat di rantau Asia, terutamanya di Malaysia dan Filipina, walaupun terpaksa gulung tikar di negara kelahirannya sendiri.

Simbol Kemewahan Golongan M40 dan Nostalgia Mufin

Lebih menarik lagi apabila perbincangan di Threads itu bertukar menjadi ruang perkongsian budaya tempatan yang sangat kelakar dan dekat dengan jiwa kita. Seorang pengguna tempatan sempat berseloroh tentang realiti gaya hidup marhaen di Malaysia.

Dia bergurau dengan meninggalkan komen, “Kebanyakan geng M40 datang ke sini selepas gaji untuk merasa seperti T20, rasanya betul-betul macam salah satu restoran mewah di KLCC.”

Komen tersebut mendapat banyak reaksi positif kerana ia sememangnya realiti kehidupan yang mencuit hati.

‘Dekat US Dah Lama Bungkus’ – Minah Salleh Terkejut Kenny Rogers Masih Meriah Di Asia
Sumber Gambar: Threads

Tidak dinafikan, menikmati hidangan ayam panggang bersama pilihan hidangan sampingan seperti makaroni keju dan mufin jagung ikonik mereka sering dianggap sebagai satu bentuk ganjaran buat diri sendiri setelah penat bekerja sebulan.

Malah, netizen dari Filipina turut berkongsi sentimen yang sama. Bagi mereka, Kenny Rogers adalah lokasi percutian dari makanan segera biasa dan menjadi tempat memori indah sambutan hari jadi ketika zaman kanak-kanak.

Perbualan ini turut membuatkan netizen dari Amerika Syarikat berasa rindu, sehinggakan ada yang membalas, “Awak nak cakap yang saya masih ada peluang untuk makan mufin jagung mereka?”

Kisah tular ini membuktikan bahawa tidak semua jenama yang gagal di negara asalnya akan berakhir dengan jalan buntu. Dengan strategi perniagaan yang bijak, pemahaman tentang selera pasaran tempatan, dan sentuhan magis korporat dari Malaysia, legasi Kenny Rogers terus hidup subur di meja makan kita semua.

Siapa sangka, ayam panggang dari Amerika kini menjadi kebanggaan dan sebahagian daripada gaya hidup rakyat di Asia.