Selain masyarakat tempatan, artis-artis turut menunjukkan solidariti sehingga sanggup menjual barangan peribadi untuk sumbangan ke Palestin.

Komposer dan penyanyi, Faizal Tahir tidak menyangka acara amal, Faith 4Palestin yang dianjurkannya berjaya mengumpul dana sumbangan keseluruhan sebanyak kira-kira RM44,000 di sebuah hotel di sini pada hari semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Faizal berkata beliau hanya mampu bersyukur dengan usaha amal dilakukan itu apabila dapat mengumpulkan jumlah sumbangan yang agak besar dalam tempoh yang singkat di samping sambutan yang menggalakkan.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Saya memang tak sangka acara amal ini (Faith 4Palestin) dapat mengumpulkan jumlah sumbangan yang besar dan sambutan sangat baik. Ia satu pencapaian bermakna buat saya kerana perancangan dibuat dalam masa singkat.

“Hanya dua minggu saja saya dan pasukan merancangnya. Saya boleh kata, acara ini macam main langgar saja sebab memang tak boleh nak tunggu lama.

“Bantuan sangat diperlukan oleh saudara kita di Palestin dan apa lagi yang saya boleh buat, melainkan dengan cara ini,” katanya.

Menerusi lelongan barangan peribadi miliknya, Faizal gembira dapat menjual kesemuanya dan memperoleh jumlah sumbangan Palestin keseluruhan sebanyak RM15,022.99. Dalam masa sama, kutipan tiket showcase turut habis dijual sebanyak RM25,437.22.

Antara barangan lelongan Faizal kepada penonton berminat yang menyertai acara Faith 4Palestin ialah jaket, trofi kemenangan Anugerah Juara Lagu (AJL), kasut dan dua buah gitar termasuk koleksi 47 figura aksi miliknya.

“Trofi AJL itu, saya dapat ketika lagu Assalamualaikum yang juga penyertaan terakhir saya di acara anugerah berkenaan. Selain itu, salah satu gitar yang dijual adalah pemberian istimewa daripada isteri tercinta saya.

“Alhamdulillah, isteri beri izin untuk saya jual gitar itu demi acara amal ini yang dibeli dengan harga RM6,399.99. Syukur, semua ini saya lakukan dengan ikhlas walaupun boleh dikata kesemua barangan yang dilelong itu adalah kesayangan dan cukup bermakna di hati saya.

“Tapi, inilah sebenarnya cara kita untuk membuat sumbangan apabila belajar kuatkan hati untuk melepaskan barangan yang betul-betul disayangi dengan ikhlas kerana Allah,” katanya.

Faizal juga mengundang aktivis Nadir Al Nuri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia untuk berkongsi kisah kemelut Palestin yang masih berlaku ketika ini.

Sumber