Pada malam semalam telah berlangsungnya konsert Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Konsert tersebut telah menarik lebih 10,000 penonton.

Menurut laporan, penyanyi popular Aina Abdul itu telah membelanjakan sebanyak RM520,000 untuk tiga mikrofon serta lima busana eksklusif untuk digayakan sempena konsert tersebut.

Baca Juga:

Rekaan kesemua busana tersebut ada dikongsikan oleh salah seorang penonton, X.com @_dauzuki yang berada di ‘Silver Seat’ pada malam tadi.

Menurut Aina Abdul, seramai 40 krew ditugaskan untuk menyiapkan setiap persalinan busana yang ditampilkan dengan masa terhad.

“Kelima-lima busana yang digayakan saya hanya sempat buat percubaan sekali saja. Itupun sewaktu sesi raptai penuh yang berlangsung semalam (Jumaat).

“Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

“Kalau anda nak tahu saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan busana ketika konsert berlangsung. Jadi boleh bayangkan tekanan yang saya dan krew perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang,” katanya kepada Harian Metro.

Ada satu gaun berwarna biru menarik perhatian ramai kerana ia mengeluarkan asap semasa Aina membuat persembahan.

Menurutnya, busana itu adalah rekaan khas daripada Zaimi Zulkifli.

“Dia seorang pereka yang inovatif apabila menggabungkan elemen sains dan fesyen dalam satu karya. Kalau anda tengok asap dan pergerakan baju itu ada jurutera yang mengawalnya di tepi pentas menggunakan alat kawalan jauh.

“Sebenarnya waktu sesi latihan, gaun itu tidak keluar asap, jadi saya dan seluruh pasukan sudah mula risau dan harap masalah ini tidak terjadi sewaktu konsert.

“Namun syukur kesemua busana hasil curahan idea saya bersama penata gaya, Abu Shaef Hamza berjaya diterjemahkan dengan baik dan setiap busana ada cerita disebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali yang merupakan penganjur konsert itu menyatakan kos keseluruhan konsert Aina Abdul 3.0 menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.

Menerusi konsert tersebut hampir 98 peratus tiket terjual dan Aina Abdul telah menyanyikan 34 buah lagu pada acara berprestij itu khas buat peminat dan penyokongnya.

Sumber