Pengarah Teknikal pasukan Selangor, Dennis Bekking dilaporkan bakal meninggalkan skuad Gergasi Merah selepas dua tahun memegang jawatan itu.
Menurut perkongsian salah seorang sumber, keputusan itu diambil oleh Dennis kerana beliau mahu kembali ke negaranya iaitu Belanda ekoran ada beberapa urusan peribadi yang perlu diselesaikan.
Baca Juga:
- Video: Tewas Kepada Selangor, Peminat Persija Merusuh
- Kutip Sampah Selepas Perlawanan, Penyokong Selangor Raih Pujian
- Licin! Tiket Perlawanan Selangor Habis Lagi
Pada masa yang sama, sumber tersebut turut menafikan Dennis bakal menyertai pasukan lain dalam masa terdekat selepas tugasnya tamat bersama Selangor.
Dennis Bekking mula terlibat dalam arena bola sepak Malaysia bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dimana beliau memegang jawatan sebagai pengarah program tersebut.
Awal pelantikannya di AMD sebenarnya tidak mudah buat Bekking memandangkan beliau mengambil tempat jurulatih yang cukup popular di mata rakat Malaysia iaitu Lim Teong Kim yang mempunyai reputasi besar kerana pernah menjadi jurulatih skuad remaja Bayern Munich.
Sepanjang dua tahun di AMD yang berpusat di Gambang, beliau sebenarnya telah banyak memperbaiki hal-hal melibatkan urusan pentadbiran meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 untuk tempoh yang agak panjang.
Sebelumnya, Bekking mempunyai pengalaman luas di Belanda dimana beliau pernah dilantik sebagai penolong jurulatih dan juga penganalisis untuk skuad utama kelab Eredivisie iaitu PEC Zwolle.
Kemudian pada 2009 beliau berhijrah ke FC Twente dengan peranan yang sama dalam memberi tumpuan kepada pembangunan di peringkat akar umbi apabila dilantik menjadi Pengarah Akademi kelab tersebut.
Selepas itu Bekking meneruskan kerjayanya ke kelab divisyen ke-2 Belanda, Go Ahead Eagles FC pada 2016 sebagai Pengurus Teknikal dan Pengarah Sukan bagi menguruskan hal teknikal pasukan utama, kedua dan akademi.
Dari segi kelayakan, beliau merupakan graduan Sarjana Kepimpinan Sukan di Universiti Salford, Manchester dan mempunyai kelayakan seperti tenaga pengajar jurulatih KNVB selain merupakan pemegang lesen kejurulatihan UEFA A.