Bayangkan kehidupan sebuah keluarga berubah sekelip mata akibat satu insiden.
Itulah yang dilalui oleh sebuah keluarga di Kabupaten Karo, Sumatera Utara. Febiola Br Purba, seorang pelajar sekolah, kini hanya mampu menjalani rutin hidup persis anak kecil berusia tiga tahun.
Lebih menyayat hati, dia disahkan hilang ingatan sehingga 70 peratus selepas dipercayai menjadi mangsa keracunan program Makan Bergizi Gratis (MBG berdasarkan laporan IDN Times.

“Anak saya menurut doktor perawatannya tidak sebentar. Doktor bilang harus dirawat selama setahun penuh, setiap seminggu sekali,” luah bapanya, Icuk Sugiarto Purba, dengan nada yang cukup berat dan penuh emosi.
Derita keluarga dan kekangan kewangan
Sejak 13 Ogos 2026, Febiola terpaksa dipindahkan ke lima buah hospital berbeza demi mendapatkan rawatan berterusan. Kini, gadis itu tidak lagi mengenali guru, rakan sekelas, mahupun darah dagingnya sendiri.
“Waktu kami pulang dari hospital, dia bertemu adiknya dan saya sebagai bapanya pun dia sudah tidak kenal. Padahal mereka selalu duduk bersama,” tambah Icuk menceritakan kepedihan hatinya.
Kesan insiden ini turut memberi tamparan hebat kepada kewangan mereka. Ibu bapa Febiola terpaksa berhenti kerja sebagai buruh kebun dan penjual keropok semata-mata untuk menjaga anak mereka.
Perbelanjaan harian semakin menekan kerana mereka perlu menyediakan susu khas berharga Rp180,000 (sekitar RM50) dua kali seminggu, beserta makanan pantang dan vitamin.
Setakat ini, mereka terpaksa menghabiskan seluruh wang simpanan demi kelangsungan rawatan.
Bantuan yang diterima pula sekadar sumbangan dari pihak sekolah dan orang awam, manakala sokongan rasmi dari pihak kerajaan masih belum kunjung tiba.
kata dokternya otaknya udah bercampur dengan racun jamur. 😥 pic.twitter.com/z0li0nAsXJ
— hayati lelah (@capekhayati) September 8, 2026
Tuntutan keadilan dan harapan
Icuk memohon penganjur program MBG dan pihak berkuasa mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
Ujian perubatan menjangkakan punca sebenar kerosakan saraf ini sama ada akibat jangkitan bakteria atau racun kulat dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.
“Harapan saya, program MBG ini sebetulnya sangat bagus. Tapi apabila ada mangsa seperti anak-anak sekolah ini, jelas itu satu kecuaian yang nyata,” tegasnya.
Tindakan tegas kerajaan
Kisah pilu ini malangnya bukan kes terpencil. Ketua Perwakilan Ombudsman Republik Indonesia Provinsi Sumatera Utara, Herdensi Adnin mendedahkan satu statistik yang mengejutkan.
Sehingga Ogos 2026, seramai 823 pelajar telah menjadi mangsa keracunan MBG di seluruh wilayah tersebut akibat tata kelola yang lemah.
Beliau menegaskan bahawa MBG adalah program keutamaan Presiden yang perlu dipantau rapi. Kegagalan penyedia makanan atau SPPG mematuhi piawaian hanya akan menggagalkan hasrat murni kerajaan.
“Bagi SPPG yang melakukan kesalahan, terutama yang mencetuskan masalah cukup berat, Ombudsman akan mengesyorkan agar operasi mereka terus ditutup,” jelas Herdensi.
Beliau menggesa koordinasi yang lebih holistik dibina antara pihak penganjur dan kerajaan tempatan. Tindakan ini penting bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin dan insiden trauma sebegini tidak lagi berulang menghantui rakyat.