Sudah acap kali kita menemui senario di mana anak menunggang motosikal secara berbahaya namun apabila ditegur ibu bapanya pula  mempertahankan seperti tidak bersalah pula.

Baru-baru ini tular, sebuah rakaman video yang memperlihatkan saat di mana seorang bapa datang berjumpa penduduk setempat yang dipercaya telah menegur anaknya yang menunggang secara berbahaya.

Di awal video, kelihatan seorang sosok bapa datang dalam keadaan bengang sambil berkata ” Hoi yang korang marah anak aku ni apahal?Suka-suka je nak marah anak aku”.

Individu yang membuat teguran itu menjelaskan bahawa anaknya telah membawa motor dalam kelajuan tinggi meskipun di dalam kawasan perumahan kampung.

Tambahnya, sudalah menunggang dengan kelajuan tinggi, anaknya siap membuat aksi berbahaya lain iaitu membuat wheelie.

Bapanya sekali lagi mempertahankan tindakan anaknya dan berkata motor itu miliknya maka itu urusan dia untuk melakukan apa sahaja.

Individu dari kejiranan itu bagaimanapun menangkis idea sebegitu kerana aksi sedemikian bukan sahaja membahayakan keselamatan anaknya malahan pengguna jalan raya yang lain.

“Memanglah bukan jalan kita bang, tapi keselamatan dia, keselamatan orang sini tak terjamin bang dengan bawa motor macam tu,” balasnya.

Malah, lelaki itu berkongsi kejadian sebenar di mana anaknya sudah hampir melanggar tiang elektrik. Perkara ini menjadi tegang apabila bapanya tetap mempertahankan anak kandung dan mendakwa dia tidak menunggang seperti yang diperkatakan oleh penduduk setempat.

“Dia tak pernah menipu,” kata orang tua itu.

Lelaki yang berkomunikasi orang itu langsung bertegas perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana sampai satu masa pasti akan berlaku sesuatu dan akhirnya orang sekeliling juga yang akan terbabit.

Perkongsian video itu telah meraih kecaman hebat dari netizen kerana ramai merasakan ibu bapa jenis yang mempertahankan anak secara sembrono inilah yang menggalakkan kemalangan itu terus berlaku.

Selain itu, netizen turut memerhati bagaimana anaknya sudah tidak timbul rasa bersalah walaupun tahu berbuat perkara berbahaya itu kerana percaya ibu bapanya akan tampil mempertahankan tanpa prejudis.