Penulis buku Tarbiah Sentap, Ustaz Adnin Roslan kini menjawab dakwaan warganet yang menyatakan beliau memakai kereta mewah namun tidak zuhud seperti penceramah ataua agamawan yang lain.

Menerusi media sosial miliknya, seorang individu bertanyakan soalan berkaitan kerja yang dilakukan oleh Ustaz Ahmad Adnin, susulan penulis itu memakai kereta mewah.

Baca Juga:

Sumber Gambar: TikTok @adninroslan

“Kerja apa sampai pakai Vellfire? Tunggang agama ke? Selalu ustaz-ustaz ni zuhud je”, demikian soalan yang ditanyakan menerusi kotak ‘Ask me a question’ di Instagram.

Bagi memastikan tiada salah faham berlaku, Ustaz Ahmad Adnin menjawab pertanyaan itu supaya tiada perkara itu tidak menimbulkan syak wasangka.

“Masa 2015, saya mula terbitkan buku pertama, buku Tarbiah Sentap. Alhamdulillah rezeki daripada Allah buku itu terjual lebih kurang 100,000 naskah.

“Tahun itu juga saya kahwin. Awal-awal berkahwin saya guna Proton Saga lama kepunyaan atuk saya tapi selepas dapat banyak jemputan ceramah, saya tukar kereta jenis Toyota Vios,” katanya.

Ustaz Ahmad Adnin kemudiannya menceritakan ada satu kejadian yang tidak diingini berlaku di mana dia dan isterinya terlibat dalam satu kemalangan.

Insiden itu membuatkan kereta Vios rosak berpanjangan dan atas isu keselamatan beliau memilih untuk membeli kereta yang lain, iaitu Toyota Avanza.

“Kenapa (pilih) Avanza kerana saya ini kerap (hadiri) ceramah dan dalam sebulan kira-kira 30 hingga 50 universiti dan sekolah yang kena pergi.

“Saya bagi ceramah secara free dan tidak berbayar tetapi setiap ceramah saya bawa buku. Sebab itu saya pilih Avanza supaya dapat bawa buku banyak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, masalah masih lagi berterusan di mana kereta tersebut tidak memberi keselesaan kepadanya.

Ujarnya, beliau tidak dapat berehat di dalam kereta kerana rasa ketidakselesaan sehingga ia membuatkan kesihatannya bertambah buruk.

Perkara itu juga membuatkan beliau membatalkan beberapa ceramah selain keretanya tidak boleh menampung berat buku yang dibawa.

Selepas itu, Ustaz Ahmad Adnin meningkatkan status hidupnya dengan membeli Toyota Vellfire atas dasar menjaga keselamatannya dan keselesaan.

“Ini kerana supaya selepas ceramah saya boleh rehat dengan selesa di dalam kereta dan perkara itu juga bagus untuk kesihatan.

“Pada masa yang sama boleh bawa banyak lagi buku dalam keadaan kereta saya tidak rosak.

“Itulah sebab saya beli Vellfire pada tahun 2021, bukan sebab saya nak menunjuk-nunjuk, tiada masa saya untuk melakukan perkara itu”, katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan maksud zuhud yang sebenar supaya ia tidak disalah tafsir oleh orang ramai.

“Miskin bukan tanda zuhud, kaya bukanlah bermakna tak zuhud.

“Zuhud itu ialah orang yang meletakkan dunia di tangannya dan bukan hatinya.

“Dia tidak menjadikan dunia tujuan hidupnya, tapi dijadikan alat untuk mencapai tujuan hidupnya yang sebenar iaitu akhirat,” tambahnya lagi.

@adninroslan

….. #ustazadnin #tiktokguru #tarbiahsentap #fyp #tuhanakuinginsembuh

♬ original sound – Ustaz Adnin – Ustaz Adnin

Difahamkan juga, Ustaz Ahmad Adnin memiliki sebuah syarikat yang dinamakan Tarbiah Sentap dan kini telah beroperasi selama sembilan tahun. Malah, beliau yang digelar sebagai Ustaz Backflip oleh Gen-Z turut berjaya melonjakkan lagi popularitinya sekaligus berpotensi mendorong jualan bukunya.