Jaringan penyamaan yang dihasilkan oleh Joel Kojo pada perlawanan menentang Oman malam tadi bukan sahaja membantu Kyrgyzstan meraih satu mata dalam saingan Piala Asia 2023.

Gol pada minit ke-80 itu secara tidak langsung turut membawa Indonesia mara ke pusingan 16 selaku pasukan keempat terbaik yang berada di kedudukan ketiga peringkat kumpulan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketika para pemain Indonesia berpesta sesama sendiri di hotel penginapan sebaik sahaja wisel penamat di Abdullah bin Khalifa Stadium itu ditiupkan, lain pula ceritanya buat puluhan ribu penyokong mereka di alam maya.

Tinjauan dibuat menyaksikan para penyokong Indonesia ‘membanjiri’ laman Instagram peribadi penyerang berusia 25 tahun itu.

Jelas sekali Kojo pada ketika ini telah diangkat sebagai wira dalam kalangan para penyokong skuad garuda kerana membantu negara tersebut mara ke pusingan 16.

Difahamkan, pengikut laman Instagram beliau sebelum ini adalah kira-kira 20,000 orang dan selepas jaringan tersebut, jumlahnya sudah meningkat hingga 58,000 (setakat sehingga artikel ini ditulis).

Malah, jumlah komen juga begitu ketara menampakkan perbezaan dimana video jaringan pada perlawanan tersebut yang dimuatnaik kelabnya,  Dinamo Samarqand (turut dikongsikan di Instagram Joel Kojo) telah mencecah 32,000 komen serta mendapat 60,446 tanda suka (likes).

Rata-rata dapat disaksikan penyokong Indonesia memberikan kata-kata pujian menggunung terhadap wira baharu mereka itu dengan pelbagai ragam.

Para penyokong Indonesia pastinya teruja dengan kejayaan mara ke pusingan 16 apatah lagi ia merupakan sejarah pertama kali dilakarkan skuad garuda itu.

Untung Kojo, dapat bantu pasukan raih satu mata, berjaya jaringkan gol di pentas Piala Asia dan pengikut di Instagram juga berganda-ganda bertambah!