Restoran berputar terkenal pada ketinggian 282 meter, Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur diarah menghentikan operasi sejak semalam susulan perintah pengosongan premis oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Media difahamkan, restoran telah diberikan masa selama dua minggu sehingga 4 Januari depan untuk mengosongkan premis mengikut perintah itu.

Baca Juga:

Menurut jurucakap restoran itu, bailif Mahkamah Tinggi muncul di restoran itu pagi semalam serta memerintahkan penutupan itu walaupun ketika itu sudah ada pelanggan sedang menjamu selera.

Difahamkan restoran itu juga telah menerima tempahan bagi perayaan Krismas bermula 24 Krismas sehingga menjelangnya sambutan Tahun Baharu 2024 Januari ini.

Pada 5 April lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd dan seorang pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Tujuan rasuah itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL. Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe Sdn Bhd melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60.

Hal ini bagi memberi faedah kepada Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Abdul Hamid Shaikh pula berdepan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama, sebagai dorongan kepada bekas menteri itu.

Dengan harapan bahawa individu terbabit bakal melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn Bhd.

Sumber