Pada bulan November lalu, sekumpulan pasukan penyelidik telah mendedahkan tentang penemuan Piramid yang tersembunyi di bawah bukit di sebuah pulau di Jawa Barat, Indonesia dan didakwa berkemungkinan menjadi piramid tertua di dunia.

Bagaimanapun, beberapa ahli arkeologi mengecam kenyataan sekumpulan penyelidik yang mendakwa sebuah piramid purba tersembunyi di bawah Gunung Padang di Indonesia yang dipercayai merupakan piramid paling tua di dunia.

Baca Juga:

Kumpulan penyelidik mendakwa piramid itu dibina bermula Zaman Ais terakhir iaitu lebih 16,000 tahun lalu sekaligus menunjukkan Gunung Padang berkemungkinan berusia 10,000 tahun lebih tua berbanding semua monumen dan piramid Giza di Mesir serta binaan batu terkenal England, Stonehenge.

Malah, pasukan penyelidik menerusi jurnal Archaeological Prospection menyatakan Gunung Padang boleh menjadi lebih dua kali ganda usia megalith purba tersebut.

Dakwaan itu menjadi tajuk utama berita seluruh dunia namun mendapat kecaman hebat daripada ramai ahli arkeologi yang menegaskan tiada satu pun bukti dikemukakan kumpulan penyelidik memberi justifikasi kesimpulan mereka mengenai zaman purba Gunung Padang.

Memetik laporan The Guardian, pasukan arkeologi berpendapat penempatan di tapak purba itu mungkin dibina sekitar 6,000 hingga 7,000 tahun dahulu.

“Ia benar-benar lemah dan saya fikir adalah sangat munasabah bahawa kertas ini sepatutnya disiasat. Ia tidak layak untuk diterbitkan dan ia tidak akan mengejutkan saya jika ia akhirnya ditarik balik.

“Data dibentangkan dalam kertas kerja ini tidak memberi sokongan untuk kesimpulan terakhir mereka bahawa penempatan itu sudah sangat lama. Namun, itulah yang mendorong menjadi tajuk utama.

“Saya amat terkejut kertas kerja ini diterbitkan seperti sedia ada,” kata ahli arkeologi dari Universiti Cardiff, Flint Dibble.

Bantahan itu memaksa pengarang jurnal Archaeological Prospection melancarkan siasatan segera.

“Siasatan itu boleh menangani kebimbangan dibangkitkan oleh pihak ketiga mengenai kandungan saintifik kertas kerja kami.

“Kami secara aktif terlibat dalam menangani kebimbangan ini,” kata pengarang utama kertas kerja, Prof. Danny Hillman Natawidjaja pada minggu lalu.

Danny merupakan ahli geologi dari agensi penyelidikan dan inovasi kebangsaan Indonesia. Perkara ini menjadi kontroversi selepas kertas kerja itu dibaca dengan teliti oleh seorang penulis kontroversi British, Graham Hancock.