Membaca satu amalan mulia yang dapat membentuk insan berilmu pengetahuan. Namun, pemilihan buku atau novel yang elok dibaca juga penting.

Beberapa hari ini tular tentang sebuah novel, Darlingku Mr. Cold Mafia yang didakwa mempunyai unsur-unsur child grooming dan tidak elok dibaca oleh remaja. Berdasarkan petikan tulisan yang ditulis, terdapat beberapa ayat yang jika dibaca mempunyai bayangan yang tidak baik kepada pembaca.

Baca Juga:

Bekas editor PTS dan usahan buku Skuad Misi, Husna Adnan antara yang berkongsikan kebimbangannya di Facebook.

“Saya letak di Facebook kerana ramai ibu bapa di sini. Penerbit tidak letak label ‘Pembaca Matang’ atau ’18 tahun ke atas’ menjadikan buku ini dibeli oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka, anak-anak beli sendiri. Malah buku ini dikatakan ada di rak perpustakaan sekolah!

Pun begitu, unsur keganasan seksual, soft p*rn, pedofilia, bukanlah adegan yang sesuai ditulis secara terperinci, dinormalisasi dan jadi sesuatu yang romantis. Entahlah. Tepuk dada, tanya iman,” tulisnya.

Beliau turut berkata tindakannya berkongsi info ini bukan untuk ‘melariskan’ lagi jualan novel tersebut tetapi sebagai satu awareness kepada ibu dan bapa. Majoriti pembada novel adalah perempuan dan sebagai seorang ibu, beliau terpanggil untuk memberi amaran kepada masyarakat.

Kakinovel keluar kenyataan rasmi

Pihak penerbit, Kakinovel telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang isu ini. Menurut mereka, mereka akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas isu tersebut antaranya berbincang dengan pengurusan kedai buku Popular untuk hentikan jualan novel ini.

“Untuk pengetahuan semua, pihak editor sebenarnya telah membuat suntingan dan pemurnian ke atas babak-babak yang tular dan menggantikan dengan istilah yang lebih sopan untuk cetakan baharu novel ini.

“Tidak ada sebarang elemen child grooming di dalam karya ini seperti yang didakwa. Ia adalah babak flashback hero dan heroin bertemu di waktu kecil dan bukanlah babak percintaan di antara dua insan yang menjalin perasaan,” tulisnya.

Novel Darlingku Mr. Cold Mafia telah berada dan dijual di pasaran sejak pertengahan tahun ini. Rata-rata netizen mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan yang sewajarnya terhadap pihak penerbit dan penulis supaya perkara seperti ini tidak lagi dinormalkan. Kerana anak-anak yang bakal menjadi mangsa, bukan kita yang dewasa.