Seorang ‘Datuk’ yang didakwa menipu ratusan pelabur, mengakibatkan kerugian kira-kira RM1 bilion, telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK) membayar lebih RM600 juta kepada Zarco Group atas pelbagai pelanggaran tugas fidusiari.

Eksekutif Zavarco Investor Relations, BS Maniam, berkata ini melibatkan penghakiman muktamad daripada mahkamah di Malaysia dan UK terhadap individu itu atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana, termasuklah pecah amanah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Beberapa penghakiman yang dibuat termasuk 101.5 juta Euro (kira-kira RM512 juta) di Mahkamah Tinggi UK kerana secara salah mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) kepada dirinya tanpa balasan tunai.

“Penghakiman RM29 juta (tidak termasuk faedah) telah dibuat di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana memanipulasi akaun Zavarco Berhad secara palsu untuk menuntut wang untuk dirinya sebagai bayaran balik pendahuluan pengarah.

“Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) juga dibuat di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana memindah RM12 juta dana pelabur ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menyebut pihaknya sedang mengesahkan dakwaan suspek turut terlibat dalam aktiviti pelaburan.

“Sebelum ini, kami menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berhubung dakwaan pembelian saham tidak wujud pada 16 April 2019, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati pengadu membuat pembayaran hampir RM40 juta ke akaun yang disediakan suspek untuk saham dalam syarikat miliknya (suspek), tetapi saham yang dijanjikan tidak diperoleh,” katanya.

Tambahnya, suspek telah memulangkan secara beransur-ansur pelaburan pengadu sebanyak RM10 juta dan menyerahkan pegangan sahamnya dalam sebuah syarikat asing kepada pengadu.

Terdahulu New Straits Times melaporkan seorang pengusaha bisnes bergelar ‘Datuk’ dikaitkan dengan satu penipuan yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM1 bilion.

Perkara itu didedahkan usahawan kosmetik Shah Abdul Malek, 51, yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM5 juta selepas dana yang dilaburkan olehnya, rakan dan keluarga diseleweng oleh individu terbabit.

Tambahan pula, seorang ahli perniagaan dari United Kingdom, Lee Roger Meiklejohn, 50, mendakwa menjadi mangsa Datuk itu selepas diperkenalkan oleh seorang broker.

Dia mendakwa telah ditipu hampir £10 juta (kira-kira RM60 juta) selepas ditawarkan untuk melabur dalam sebuah syarikat dengan pelbagai tawaran dan pulangan lumayan.

Sumber