Indonesia mengambil tindakan tegas terhadap dua orang digital nomad warga Belanda selepas mereka didakwa mengendalikan komuniti dan acara di Bali yang didakwa mendiskriminasikan rakyat tempatan serta melanggar syarat imigresen.
Dua individu terbabit, Joost Storms (35) dan Hidde van Vliet (37), dilaporkan telah meninggalkan Bali menuju Singapura sebelum pihak berkuasa sempat menahan mereka.
Susulan itu, Direktorat Jeneral Imigresen Indonesia telah menyenaraihitamkan kedua-duanya daripada memasuki semula negara itu.
Kontroversi tercetus apabila beberapa rakyat Indonesia mendakwa permohonan mereka untuk menyertai komuniti WhatsApp Entourage Bali ditolak atau diletakkan dalam status semakan.
Namun, apabila permohonan dibuat menggunakan nama Barat atau Mat Salih, serta nombor telefon asing, akses diberikan hampir serta-merta.
Lebih mengundang kemarahan apabila tangkap layar yang tular menunjukkan mesej automatik memaklumkan komuniti tersebut diwujudkan khusus untuk “digital nomad” asing.
Haha after the Network School debacle, I really do hope SEA wakes up to this phenomenon of western nomads disrespecting everyone everywhere they are. pic.twitter.com/3zJ07aMwZx
— Iqbal Cilisos (@Iqtodabal) July 25, 2026
Ramai melihat perkara itu sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap penduduk tempatan walaupun aktiviti mereka dijalankan di kawasan awam seperti Canggu, Uluwatu dan Ubud.
Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Hendarsam Marantoko menyifatkan tindakan penganjur seolah-olah cuba mewujudkan “negara dalam negara”.
Selain isu diskriminasi, pihak berkuasa turut menyiasat sama ada mereka menganjurkan aktiviti komersial tanpa permit serta visa kerja yang sah.
Walaupun Entourage Bali telah memohon maaf dan mendakwa masalah itu berpunca daripada sistem automatik WhatsApp yang tersilap menapis nombor telefon Indonesia (+62), pihak berkuasa tetap meneruskan siasatan. Semua aktiviti mereka kini digantung sementara.
Ada persamaan dengan isu Network School di Malaysia?
Kes ini mengingatkan ramai kepada kontroversi Network School di Johor yang hangat diperkatakan sebelum ini. Yang juga diwujudkan untuk digital nomad.
Dalam kes tersebut, projek penempatan komuniti teknologi yang disokong pelabur asing menerima kritikan selepas timbul persepsi bahawa ia membentuk komuniti eksklusif untuk warga asing dan golongan tertentu.
Ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai pengasingan sosial serta usaha puak tertentu mahu membina komuniti baharu mereka sendiri yang eksklusif di negara orang.
Ada yang menyindir bahawa, kelompok ini sebenarnya, golongan yang acah kaya, tidak mampu tinggal di negara seperti Monaco, sebab itu mereka memilih Asia Tenggara yang lebih murah kosnya. Terutama sekali tempat seperti Bali.
Netizen yang lain juga melabel, individu yang menjadi digital nomad ini ramai yang merupakan sampah sarap tidak berguna di negara sendiri, kemudian mencari negara dunia ketiga dan menggunakan ‘white man priveleges’.
Seterusnya ada yang mendesak bahawa golongan ini harus digelar imigran sahaja, seperti mana mereka menggelar mana mana pendatang yang datang untuk bekerja di negara mereka.