Seorang pembuat mainan tempatan telah mendedikasikan sebuah mainan berupa lastik khas yang bakal dilelong untuk menyokong perjuangan Palestin.

Wan Kedah selaku pemilik Ayaq Mata Toy Company berkongsi perkara ini menerusi halaman Facebook dengan menceritakan keunikan mainan lastik  yang datang lengkap dengan pembungkusan istimewa.

Baca Juga:

Lastik
Sumber Gambar: FB Wan Kedah

Mainan berkenaan datang dengan rekaan kotak pembungkusan yang memperlihatkan kartun seperti kanak-kanak menggunakan lastik untuk melawan regim Zionis bersama latar belakang bendera negara Palestin.

Malah, beliau menitipkan tagline khas padanya iaitu “Hari ini, hampir semua benda dibuat di China, kecuali keberanian- ia dibuat di Palestin”.

Sementara di belakang pembungkusan pula menceritakan rasional disebalik pembuatan mainan lastik ‘custom made’ itu, yang mana menurut penerangan ia merupakan satu alat dan simbol yang popular di dalam tentangan.

Penggunaan lastik ini juga popular selepas Intifada Pertama atau dikenali sebagai Intifada Batu kerana senjata utama penduduk Palestin ketika itu ialah batu yang dilontarkan kepada penjajah yang lengkap dengan kereta kebal pada konflik Israel-Palestin tahun 1987.

Dalam pada itu, beliau menyatakan terpanggil untuk membuat mainan ‘custom made’ tersebut. Setiap mainan ini pula ada cerita di sebaliknya.

Menurut Wan Kedah, beliau merasa sebak sewaktu membuat mainan ini yang mana tidak pernah berlaku ketika pembuatan mainan lain sebelum ini. Untuk membuatkan ia lebih istimewa, mainan ini hanya dicipta dalam satu unit sahaja.

Beliau malah mendedahkan bahawa mainan lastik khas ini bukan dijual tetapi untuk dilelong dalam membantu perjuangan Palestin. Bidaan ini sudah pun boleh dibuat menerusi platform Facebook.

Sementara di ruangan komentar, ramai yang kagum dan memuji akan inisiatif beliau dalam menunjukkan solidariti serta membantu saudara seislam di sana dengan sumbangan hasil jualan mainan itu kelak.

Kemaskini terbaharu, bidaan setakat ini sudah pun mencapai bidaan setinggi RM1,250 di FB Group CTFK dan boleh dibida sehingga hari Ahad kelak. Dapat dilihat sambutan cukup baik daripada netizen.

Sumber