Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi ‘Pride Collection’ yang sering dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut laporan Harian Metro, Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr, memaklumkan terkejut dan kecewa dengan rampasan yang dilakukan itu. Nick berkata, pihaknya menyokong kepelbagaian dan inovasi yang ditonjolkan.

“Jenama ini diminati kerana kreativiti dan rampaian warna yang menghiasi kualiti jam keluaran Switzerland. Kami tidak merasakan koleksi jam yang menggunakan warna pelangi dengan mesej kedamaian dan kasih sayang boleh membahayakan orang lain.

“Sebaliknya, Swatch sentiasa mempromosikan mesej positif berkaitan kegembiraan dalam hidup. Mesej ini tidak bersifat politik. Dalam hal ini, timbul tanda tanya sama ada Bahagian Penguat kuasa Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri akan ‘merampas’ pelangi yang muncul secara semula jadi yang terdapat di langit,” kata Nick menerusi portal The Edge.

Menurutnya, sejak dahulu lagi jenama jam itu dikenali dengan kepelbagaian warna dan rekaan yang bertujuan meraikan kepelbagaian individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Nick berharap supaya jam tangan yang dirampas itu dikembalikan semula kepada pihaknya.

Sumber