Sebuah perkongsian video tular memaparkan rintihan seorang wanita warga asing yang mendakwa telah melalui pengalaman mengerikan dan dilayan secara tidak berperikemanusiaan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Malaysia menerusi satu sesi podcast bersama Dr Richard Lee baru-baru ini.
Kronologi Kejadian Yang Mendebarkan
Melalui video tersebut, wanita berkenaan mendakwa beliau telah menjalani prosedur pembedahan tanpa keizinan yang jelas. Apa yang lebih mengejutkan, beliau mendakwa terdapat kesan potongan pada bahagian payudaranya sepanjang 30 sentimeter.
“Saya dalam kesakitan yang amat sangat, tetapi kesakitan saya itu diabaikan,” katanya dalam nada kesal.
Beliau turut menceritakan detik cemas apabila mendakwa dikasari secara fizikal oleh kakitangan perubatan semasa berada dalam keadaan lemah. Menurutnya, tangan kanan dan kirinya dipegang kuat oleh individu di situ sebelum diperlakukan dengan kasar.
“Saya gemetar (menggigil), saya dipukul. Sangat biadap (very rude),” tambahnya lagi sambil menyifatkan layanan yang diterima sebagai sangat sombong.
“Kamu Patut Bersyukur” – Jawapan Sinis Doktor?
Apabila wanita itu cuba bertanyakan tentang keadaan kesihatannya dan mengapa prosedur tersebut dilakukan, beliau mendakwa doktor yang merawatnya memberikan jawapan yang sangat mengguris hati.
Doktor tersebut dikatakan menjawab bahawa wanita itu bertuah kerana masih muda dan selamat, manakala orang lain mungkin sudah meninggal dunia dalam situasi yang sama.
“Dia hanya jawab, justru kerana kamu muda makanya kamu selamat. Kalau orang lain pasti mati. Kamu harus bersyukur kerana saya selamatkan nyawa kamu,” dakwanya lagi ketika mengimbas kembali kata-kata doktor tersebut.
@drrichardlee Korban Malpraktek RS Malaysia..
♬ suara asli – dr. Richard Lee, MARS, ph.D – dr. Richard Lee, MARS, ph.D
Isu Etika Perubatan Jadi Persoalan
Dakwaan ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Isu keizinan pesakit (informed consent) dan etika layanan doktor terhadap pesakit adalah perkara yang sangat serius dalam dunia perubatan.
Setakat ini, identiti hospital dan doktor yang terlibat masih belum didedahkan secara rasmi. Pihak berkuasa dan badan berkaitan dijangka akan meneliti dakwaan ini sekiranya laporan rasmi dibuat oleh mangsa.
Dalam pada itu, netizen dari Malaysia bagaimanapun mempunyai kemusykilan dengan dakwaan berat itu kerana yakin negara Malaysia mempunyai standard perubatan yang ketat dan tahap profesionalisme yang tinggi dalam merawat setiap pesakit.