Penggunaan kemudahan pejabat untuk tujuan peribadi sering kali menjadi isu sensitif di tempat kerja.
Baru-baru ini, pengamal sumber manusia, Khairul Atlas, telah berkongsi satu keputusan Mahkamah Perusahaan yang memberi ikhtibar besar kepada seluruh warga pekerja dan pihak pengurusan.
Kes ini melibatkan seorang pembantu peribadi yang dipecat selepas didapati menggunakan istilah kurang sopan terhadap pegawai kanan syarikat dalam emel dalaman pejabat.
Keputusan mahkamah ini membuka mata ramai pihak mengenai garis pemisah antara luahan perasaan secara tertutup dan tindakan penghinaan terbuka, serta kepentingan prosedur disiplin yang sah di tempat kerja.
Bermula Daripada Siasatan Kebocoran Maklumat Sulit
Isu ini pada mulanya tidak timbul daripada aduan disiplin secara terus. Pihak syarikat sebenarnya sedang menjalankan siasatan berkenaan isu kebocoran maklumat sulit mesyuarat lembaga pengarah yang melibatkan pekerja lain.
Namun, semasa proses siasatan dijalankan, nama pembantu peribadi terbabit secara tidak sengaja telah muncul. Keadaan ini mendorong pihak syarikat untuk memeriksa kandungan emel pejabat pekerja berkenaan yang dihantar kepada tiga rakan rapatnya.
Hasil pemeriksaan tersebut membawa kepada penemuan perbualan yang mengandungi kata-kata kasar dan perbuatan mengumpat terhadap pihak pengurusan.
Dakwaan Syarikat dan Penjelasan Pekerja
Pihak syarikat mendakwa pekerja tersebut telah menyalahgunakan komputer milik pejabat untuk bersembang serta mengeluarkan bahasa kasar terhadap pegawai kanan.
Syarikat menganggap perbuatan itu sebagai satu bentuk penghinaan dan cubaan untuk menjatuhkan autoriti pihak pengurusan.
Walau bagaimanapun, analisis kandungan emel menunjukkan bahawa nama pegawai yang dimaksudkan tidak dinyatakan secara jelas.
Pekerja mengakui bahawa istilah big boss merujuk kepada Pengarah Urusan, manakala perkataan blur berkemungkinan ditujukan kepada dua pegawai kanan yang lain. Pekerja juga tidak dapat mengingati individu sebenar yang dimaksudkan dengan perkataan teloq.
Menurut pekerja itu, perbualan berkenaan sekadar perbualan santai atau tea-time gossip sesama rakan rapat bagi melepaskan tekanan kerja serta rasa tidak puas hati.
Emel tersebut tidak pernah dihantar kepada pihak luar, tidak ditujukan secara langsung kepada pengurusan, dan tidak menjejaskan rekod prestasi kerjanya yang sentiasa bersih sebelum ini.
Kelemahan Prosedur Disiplin Syarikat
Keterangan yang diberikan oleh saksi syarikat di mahkamah menjadi titik penting yang memihak kepada pekerja. Saksi syarikat sendiri mengesahkan bahawa tiada sebarang aduan rasmi pernah dibuat terhadap pekerja tersebut sebelum surat tunjuk sebab dikeluarkan, dan pekerja juga tidak pernah mempunyai masalah prestasi kerja.
Selain itu, tiada siasatan khusus dijalankan selepas jawapan balasan daripada pekerja diterima, dan pihak syarikat tidak menjalankan Siasatan Dalaman atau Domestic Inquiry sebelum mengambil tindakan pemecatan.
Identiti sebenar pegawai yang dirujuk dalam emel tersebut juga hanya dibuat berdasarkan andaian pihak syarikat melalui aliran perbualan semata-mata, tanpa bukti konkrit.
Keputusan Mahkamah dan Jumlah Pampasan
Mahkamah Perusahaan dalam penghakimannya mengakui bahawa perkataan yang digunakan oleh pekerja adalah kasar dan tidak sepatutnya digunakan terhadap pegawai kanan.
Walau bagaimanapun, mahkamah menegaskan bahawa terdapat perbezaan ketara antara tindakan menghina pegawai secara berdepan dengan perlakuan mengumpat secara tertutup bersama rakan rapat.
Atas dasar tersebut, mahkamah memutuskan bahawa hukuman buang kerja adalah tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Ketiga-tiga pertuduhan gagal dibuktikan secara kukuh, sekali gus menjadikan pembuangan kerja tersebut dilakukan tanpa alasan atau sebab yang munasabah.
Walau bagaimanapun, pekerja tetap dikenakan pemotongan bayaran gaji tertunggak atau backwages sebanyak 40 peratus kerana didapati bersalah menyalahgunakan emel pejabat untuk mengumpat.
Melalui keputusan ini, pekerja menerima bayaran gaji tertunggak selepas potongan sebanyak RM47,188.80 dan pampasan ganti reinstatement sebanyak RM19,662.00. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima oleh pekerja adalah sebanyak RM66,850.80.
Keputusan Mahkamah Perusahaan ini memberikan mesej yang sangat jelas kepada kedua-dua belah pihak. Bagi pekerja, kemudahan pejabat seperti emel dan komputer syarikat bukanlah platform yang wajar untuk meluahkan rasa tidak puas hati, kerana sebarang penyalahgunaan tetap boleh dikenakan tindakan disiplin.
Manakala bagi majikan, tindakan pemecatan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati dan mengikut prosedur perundangan yang betul, termasuk menjalankan Siasatan Dalaman yang adil.
Seperti yang ditegaskan oleh Khairul Atlas, perkongsian kes ini adalah untuk tujuan maklumat umum semata-mata dan bukan nasihat perundangan rasmi. Setiap keputusan mahkamah amat bergantung kepada fakta kes, bukti, kontrak perkhidmatan, serta dasar syarikat yang berkuat kuasa.