Sejak semalam, ruang media sosial Threads hangat memperkatakan mengenai dakwaan bahawa restoran milik pempengaruh dan pelawak terkenal, FUIYOH! It’s Uncle Roger yang terletak di pusat beli-belah MyTOWN telah menamatkan operasinya secara kekal.
Spekulasi itu mula tercetus apabila beberapa pengguna memuat naik gambar keadaan premis berkenaan yang dilihat sunyi tanpa pelanggan serta dihadang dengan penghadang milik pusat beli-belah tersebut.
Spekulasi Penutupan Dan Keluhan Pelanggan

Kekecohan itu bermula selepas seorang pengguna Threads yang menggunakan nama akaun simonlee82 berkongsi foto keadaan restoran berkenaan sehingga meraih lebih 882,000 tontonan dan 6,700 tanda suka.
Dia turut memuat naik hantaran ucapan selamat tinggal seolah-olah mengesahkan restoran yang mula dibuka pada 12 September 2025 itu telah pun menutup tirai operasinya pada 12 November 2026. Seorang lagi pengguna, erickbok, turut berkongsi gambar premis yang ditutup itu sambil meluahkan rasa kecewa.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang mula mengaitkan penutupan tersebut dengan faktor kekurangan pengunjung dan mutu khidmat pelanggan.
Seorang pengguna dikenali sebagai syedakramin mendakwa suasana di restoran itu agak lengang ketika dia berkunjung ke sana dua minggu lalu.
“Gambar dua minggu lepas. Waktu puncak jam 7.30 malam, ada dua pelanggan saja. Semalam terus tutup. Mungkin kena badi sebab selalu kutuk masakan orang lain,” seloroh syedakramin menerusi hantarannya.
Di ruangan balas, pengguna waiiiiiwai pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan pekerja di cawangan tersebut. “Layanan di sini sangat teruk. Pernah sekali saya masuk untuk makan malam tetapi tiada kakitangan yang melayan, jadi kami terus keluar semula,” tulisnya yang kemudian dibalas secara berseloroh oleh simonlee82 bahawa Uncle Roger tiada di situ untuk memantau khidmat pelanggan mereka.
Pihak Restoran Tampil Perjelas Keadaan Sebenar
Tidak membiarkan teka-teki itu berlarutan, pihak pengurusan restoran menerusi akaun rasmi mereka di Threads, fuiyohitsuncleroger, tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik penutupan sementara premis tersebut.
Rupa-rupanya, cawangan di MyTOWN itu bukanlah ditutup selama-lamanya seperti yang didakwa, sebaliknya ditutup seketika bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan.
“Uncle Roger dengar ramai anak saudara bertanya mengenai cawangan MyTOWN kami! Kami telah melakukan sedikit kerja naik taraf untuk membawakan sesuatu yang baharu dan mengujakan! Kami kini sudah kembali dibuka dan bersedia untuk melayan anda semua! Mari datang!” jelas kenyataan rasmi tersebut.
Warganet Terhibur Dan Teruja Kembali Menjamu Selera
Penjelasan rasmi itu nyata melegakan para peminat serta mencuit hati pengguna Threads apabila ada yang menyedari akaun rasmi restoran tersebut kelihatan baru sahaja diwujudkan semata-mata untuk menjawab spekulasi berkenaan
“Kamu semua memang terpaksa buka akaun Threads semata-mata untuk buat pengumuman ini ya,” usik pengguna wooyunxie di ruangan komen.
Sementara itu, pengguna hennwei pula tampil mempertahankan kualiti makanan di restoran berkenaan dengan menyifatkan menu nasi goreng yang dihidangkan sebenarnya enak dan tidak memahami mengapa ia sering menerima kecaman.
Bagi peminat setia seperti xclusivekl dan erickbok, berita pembukaan semula itu disambut dengan penuh teruja dan mereka tidak sabar untuk kembali menikmati hidangan nasi goreng di cawangan tersebut.