Salah satu cara berbelanja yang bijak yang sering diamalkan oleh warga tempatan adalah dengan menggunakan baucar diskaun.

Bagaimanapun, seorang pengguna TikTok @abnormina telah memuat naik satu video menceritakan pengalamannya membeli barang kemas dari satu kedai jenama terkenal di sebuah kompleks membeli-belah di ibu negara.

Difahamkan beliau pergi ke kedai berkenaan bersama seorang rakannya untuk membeli cincin persahabatan atau ‘bestie ring’. Dua sahabat baik ini menerima baucar potongan RM50 bagi pembelian di kedai tersebut dari sebuah pasar raya.

Mereka kemudiannya bertanya kepada seorang lelaki yang merupakan penasihat jualan mengenai barangan yang boleh dibeli  menggunakan baucar tersebut.

Namun sebaik sahaja soalan itu diajukan, wanita itu mendakwa mereka seolah-olah diperli oleh SA berkenaan yang bertanya semula adakah mereka ingin menggunakan baucar.

SA tersebut turut berkali-kali bertanyakan bagaimana mereka mendapatkan baucar berkenaan dari pasar raya.

Di samping itu, rakan pengguna TikTok ini turut bertanyakan kepada SA berkenaan jika barang kemas jenis perak, yang banyak dijual oleh kedai berkenaan, boleh berkarat.

Lelaki itu kemudiannya menjawab dengan nada jengkel seolah-olah tidak sukakan mereka. Namun begitu, mereka sebagai pelanggan masih mengekalkan sikap yang profesional.

Dalam video sama, wanita itu turut mendakwa SA berkenaan ada mengajukan soalan peribadi kepada dia dan rakannya.

Mereka ditanya soalan berkaitan tempat tinggal, tempat bekerja dan berkhidmat di jabatan mana.

Tambahnya lagi, SA berkenaan juga ada bertanya jika dia bekerja di bahagian kewangan bagi satu syarikat tertentu.

Apabila dia mengiyakannya, lelaki itu membalas dengan ayat perlian, “Oh, patutlah”. Mereka tidak pasti mengapakah SA itu berkata sedemikian.

Di akhir pembelian, kedua-dua wanita itu ditanya jika mereka ingin mendaftar sebagai ahli bagi jenama barang kemas tersebut.

@abnormina

♬ original sound – abnormina – abnormina

Mereka enggan pada mulanya, tetapi bersetuju setelah diberitahu akan mendapat faedah dalam bentuk pemotongan 20% pada hari jadi.

Sementara di ruangan komentar, rupanya ramai yang menghadapi pengalaman yang sama ketika membeli-belah di cawangan kedai barangan kemas terkenal di TRX Mall.

Sumber Gambar: TikTok @abnormina
Sumber Gambar: TikTok @abnormina

Malah, ada warganet lain yang mendakwa, mereka juga menerima perkhidmatan yang teruk, namun dari SA cawangan lain di Lembah Klang.