Kerajaan mengumumkan potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Memetik BERNAMA, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta.

Baca Juga:

“Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus bermula 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat), dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu).

“Kita beri dua hari (diskaun) supaya pengguna tidak tergesa-gesa dan boleh merancang sebaiknya perjalanan mereka,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melakukan tinjauan kerja di sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Ayer Keroh di sini hari ini.

Diskaun tol itu khusus bagi kenderaan persendirian (Kelas 1) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Nanta turut menasihatkan pengguna agar mengikut jadual waktu perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi serta menggunakan pautan paparan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Sumber