Niat asalnya hanyalah mahu merakam realiti bencana jerebu rentas sempadan demi tatapan masyarakat, namun perjalanan tersebut bertukar menjadi sebuah igauan ngeri buat pencipta kandungan popular, Isa Isarb.

Menerusi satu perkongsian luahan yang menyentuh hati di media sosial, beliau mendedahkan pengalaman mencemaskan apabila ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia atas satu sangkaan yang langsung tidak pernah dibayangkannya, iaitu disyaki sebagai perisik dari Malaysia atau individu yang dibayar untuk menggulingkan sebuah kerajaan.

Detik Cemas Bermula Di Lokasi Demonstrasi

Segalanya bermula sewaktu Isa bersama pasukannya sedang dalam perjalanan ke kawasan kebakaran hutan bagi tujuan penggambaran dokumentari jerebu.

Ketika melalui sebuah laluan, mereka melihat sekumpulan penuntut universiti sedang berkumpul mengadakan demonstrasi jalanan.

Tanpa menyangka sebarang risiko buruk, pasukannya membuat keputusan untuk singgah sebentar bagi menemu bual beberapa orang di kawasan tersebut.

Tidak lama selepas itu, kehadiran mereka disedari oleh pihak berkuasa tempatan apabila sekitar 10 hingga 15 orang pegawai mula menghampiri.

Suasana yang awalnya tenang bertukar menjadi tegang apabila salah seorang pegawai terus menegurnya dengan memanggil nama penuh, “Adakah kamu Isa Batharul?”

Bagi Isa, pertanyaan itu serta-merta mencetuskan rasa curiga dan bimbang kerana orang luar kebiasaannya hanya mengenali beliau dengan nama komersial, Isa Isarb.

Mereka kemudiannya ditahan atas alasan menyalahgunakan visa pelancong, memandangkan status visa berkenaan tidak membenarkan aktiviti liputan mahupun berada di kawasan tunjuk perasaan.

Isa memberikan kerjasama penuh, menyerahkan telefon bimbit untuk disemak dan memberikan penjelasan sebelum mereka ditempatkan di dalam lokap balai berkenaan.

Tuduhan Mengintip Dan Siasatan Siber Berprofil Tinggi

Situasi menjadi jauh lebih mendebarkan pada keesokan harinya apabila balai yang pada awalnya sunyi didatangi seramai 40 anggota keselamatan tambahan.

Kehadiran pasukan forensik siber dengan kelengkapan canggih serta pegawai atasan mula membuatkan Isa gelisah, apatah lagi ketika itu gelombang demonstrasi sedang hangat melanda seluruh negara jiran tersebut. Beliau sedar, dalam keadaan politik yang tidak menentu, sesiapa sahaja boleh terperangkap menjadi mangsa keadaan.

Keesokan paginya, kerisauan itu bertukar menjadi ketakutan sebenar apabila seorang pegawai penyiasat memaklumkan sebab utama mereka ditahan dengan nada tegas, “Kamu disyaki sebagai perisik dari Malaysia kerana terdapat bukti perbualan antara kamu dengan beberapa ahli politik di Malaysia.”

Pihak penyiasat menemukan rekod komunikasi antara pasukannya dengan pejabat Timbalan Perdana Menteri, YB Syed Saddiq, serta Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil

Walhal, mesej tersebut hanyalah urusan rasmi menjemput kedua-dua pemimpin itu ditemu bual bagi melengkapkan naratif dokumentari jerebu yang sedang diusahakan.

2Situasi bertambah rumit apabila terdapat jemputan ke Parlimen Malaysia pada minggu sama, yang sebenarnya diadakan di situ semata-mata bagi menyesuaikan masa dengan jadual padat Syed Saddiq yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga.

Mendengar tuduhan pengintipan, hati mana yang tidak luluh apabila membayangkan peruntukan undang-undang yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau hukuman mati di hadapan skuad penembak jika disabitkan kesalahan.

Sepanjang enam hari disoal siasat tanpa henti, perasaan putus asa kerap menyapa jiwa, dan mereka hanya mampu berserah kepada takdir sambil terus memberi kerjasama sepenuhnya.

Mengukir Wajah Keluarga Demi Bertahan Dalam Gelap

Di sebalik ketegangan siasatan, ujian psikologi yang terpaksa ditempuh di sebalik jeriji besi lokap merupakan fasa paling meruntun jiwa. Menerusi coretan peribadinya, Isa menggambarkan betapa sejuk dan sunyinya malam-malam yang dilalui di perantauan.

“Tidak pernah malam terasa sesunyi itu. Saya hanya mampu memeluk lutut sendiri, cuba meredakan tubuh yang menggigil,” kongsi beliau menggambarkan derita emosi yang dialami.

Rasa rindu yang teramat mendalam terhadap isteri dan cahaya mata berbaur dengan ketakutan sekiranya beliau tidak lagi berpeluang pulang ke pangkuan mereka.

Bagi meredakan debaran dada dan serangan panik yang menyerang di dalam sel sempit itu, Isa mengambil sekeping pin besi daripada surat tahanan lalu menggores lukisan wajah isteri dan anaknya pada dinding lokap. Mengukir wajah insan tersayang menjadi satu-satunya kekuatan untuk beliau bertahan, menghadapi malam-malam tanpa kepastian tentang hari esok.

Pulang Ke Tanah Air Dan Penangguhan Tayangan Video

Detik getir tersebut akhirnya bernoktah dengan kelegaan apabila Isa dan kumpulannya berjaya dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas hubungan diplomatik yang utuh antara kerajaan Malaysia dan Indonesia. Beliau turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Indonesia atas layanan yang adil sepanjang proses siasatan, serta kerajaan Malaysia yang segera menghulurkan bantuan dan tidak melepaskan tangan rakyatnya pada saat genting.

Menyentuh mengenai rakaman dokumentari dan penceritaan terperinci insiden itu, Isa berhasrat berkongsi pengalaman berharga ini sebagai pedoman kepada masyarakat umum. Walau bagaimanapun, beliau mengambil pendekatan matang untuk tidak memuat naik video tersebut serta-merta.

Beliau tidak mahu kisahnya disalah erti, dijadikan alat propaganda atau bahan kempen oleh mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November 2026, selain mengambil kira sensitiviti isu jerebu yang masih diperkatakan.

Sebagai gantinya, video penuh mengenai detik penahanan tersebut dijadualkan disiarkan di saluran YouTube Isa Isarb pada 16 November 2026, iaitu selepas tamat pilihan raya negeri dan apabila keadaan jerebu dijangka reda susulan hujan yang mula turun.

Isa turut memohon maaf kepada para pengikut setianya kerana terpaksa menghentikan rutin muat naik video setiap tiga hari dan memaklumkan saluran YouTube miliknya akan kembali beroperasi seperti biasa bermula pada tarikh tersebut.