Baru-baru ini, tular di media sosial satu hantaran yang membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet mengenai sebuah restoran kopitiam tempatan yang cukup popular.
Isu bermula apabila seorang pengguna memuat naik tangkap layar menu restoran tersebut yang didakwa mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan kita.
Teguran berasas dari warganet
Semuanya bermula di aplikasi Threads apabila pengguna bernama @perakoghang meluahkan rasa kecewa melihat buku menu di cawangan Oriental Kopi. Menerusi hantaran tersebut, dia menegur mengapa menu restoran berkenaan hanya memaparkan bahasa Inggeris dan bahasa Cina sahaja.

Pengguna itu turut mempersoalkan mengapa di Malaysia, bahasa kebangsaan diketepikan seolah-olah menjadi bahasa ketiga.
Luahannya itu pantas mendapat perhatian ramai memandangkan restoran tersebut sering menjadi tumpuan pelbagai kaum untuk menjamu selera.
Pengasas Oriental Kopi tampil mohon maaf
Menyedari isu ini hangat diperkatakan, pengasas Oriental Kopi iaitu Calvin Chan Jian Chern tidak mengambil jalan berdiam diri.
Beliau tampil ke hadapan meninggalkan komen balas secara profesional dan terbuka menerima kritikan tersebut. Menerusi akaun rasminya di Threads, Calvin mengucapkan terima kasih atas pandangan yang diberikan dan memohon maaf secara terbuka atas kekurangan daripada pihak pengurusan.
“Sebagai jenama yang lahir di Malaysia, kami sentiasa menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita,” jelas Calvin membalas hantaran tular tersebut. Beliau turut menyatakan rasa hargai terhadap keprihatinan orang ramai yang memberi ruang dan peluang untuk mereka membuat penambahbaikan.
Menu rekaan baharu sudah dalam proses
Menjawab persoalan dan rungutan orang ramai, Calvin mendedahkan bahawa pihak mereka sebenarnya sudah pun dalam proses untuk memperkenalkan reka bentuk menu yang baharu.
Beliau memberi jaminan bahawa menu yang bakal dikeluarkan ini kelak akan turut menyertakan terjemahan dalam Bahasa Melayu.
“Kami dengan rendah hati memohon sedikit masa untuk melaksanakan penambahbaikan ini ya,” tambahnya lagi dalam nada memujuk. Kenyataan ini menunjukkan pihak pengurusan peka dan sedang mengambil tindakan terhadap kelompangan tersebut.
Oriental Kopi untuk semua rakyat Malaysia
Dalam hantaran balas yang berasingan, Calvin sekali lagi menegaskan pendirian syarikatnya bahawa Oriental Kopi adalah sebuah jenama untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa mahupun latar belakang.
Beliau berjanji pasukannya akan terus berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia melalui hidangan makanan warisan negara.
Walaupun permohonan maaf dan penjelasan telah dibuat, ruangan komen di aplikasi tersebut tetap meriah dengan pelbagai reaksi awam.
Kesilapan terlepas pandang terhadap sensitiviti penggunaan bahasa kebangsaan bukanlah isu yang asing dalam landskap perniagaan di negara kita.
Namun, cara jenama ini menguruskan krisis dengan memohon maaf tanpa berdolak-dalih wajar diberi sedikit kredit. Semoga selepas insiden ini, lebih banyak perniagaan di luar sana akan lebih cakna dan berbangga untuk memartabatkan bahasa ibunda dalam operasi harian mereka.