Model Siew Pui Yi atau lebih dikenali sebagai Ms Puiyi telah memfailkan saman terhadap bekas rakan niaga kerana didakwa menipunya hampir RM4.3 juta, petik Free Malaysia Today.

Beliau berkata lelaki yang dikenali sebagai ‘Mentos’, pengarah syarikatnya berusia 29 tahun, diminta menjelaskan tunggakan cukai firma itu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun lepas.

Baca Juga:

Bagaimanapun, Ms Puiyi mendakwa lelaki tersebut melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran.

Pada masa sama, dia mendakwa baru menyedari lelaki itu telah menyeleweng dana daripada syarikatnya PY Empire Sdn Bhd sejak Jun 2022.

“Saya telah diperkenalkan kepadanya oleh rakan pada 2019 dan dia dilihat sebagai seorang yang berintegriti tinggi.

“Dia menguruskan hal sumber manusia syarikat saya dan melaburkan dana syarikat (saya),” katanya pada sidang media di Green Hall di sini.

“Saya mempercayainya dan memberinya jumlah (hampir RM4.3 juta). Tetapi dia tidak menjelaskan tunggakan cukai pendapatan seperti yang diarahkan. Disebabkan perbuatannya, saya mengalami kerugian,” katanya.