Siapa tak kenal dengan Christy Ng, pengasas dan jenama fesyen tempatan yang sudah lama menempa nama dalam bidang ini dan menjadi buah mulut orang ramai.

Baru-baru ini, video yang dimuat naik oleh Christy Ng di akaun TikTok miliknya mendapat pujian orang ramai, namun ada juga yang kurang senang dengan kandungan video tersebut.

Video yang merakam Christy memberi wang kepada pekerjanya telah mendapat ratusan ribu tontonan, bukan sahaja di TikTok malah di media sosial X.

Video itu menunjukkan Christy sedang memasukkan duit ke dalam beg pekerjanya sambil meninggalkan nota kecil – ucapan terima kasih di atas usaha mereka sepanjang bekerja dengan beliau.

Seorang netizen meninggalkan komen bahawa Christy adalah seorang majikan idaman kerana prihatin dengan nasib pekerja.

Bagaimanapun, seorang netizen meluahkan rasa kurang senang dengan video tersebut sambil mendakwa bahawa beliau adalah seorang majikan yang selalu membuli pekerja dan menuduhnya memendekkan cuti bersalin.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh netizen tersebut telah mendapat perhatian umum sehingga ia dibanjiri dengan pelbagai komen negatif.

Namun seorang pekerja Christy tampil meluahkan rasa bertuahnya kerana mendapat sokongan daripada majikan, terutama dalam hal kelahiran anaknya.

Dalam ciapannya, netizen dengan nama Deng menyatakan bahawa dia akan memulakan cuti paterniti (paternity leave) dalam masa terdekat dan segala keperluan bayi, seperti lampin, produk bayi, serta elaun paterniti semuanya ditaja oleh bosnya.

Bukan itu sahaja, bosnya juga memberikan sokongan tambahan dengan menaja Confinement Lady selama dua minggu untuk membantu dalam tempoh berpantang.

DENG menekankan bahawa dia tiada masalah langsung dalam mendapatkan cuti bersalin atau paterniti sepanjang bekerja dengan majikannya ini.

Ciapan DENG ini kelihatan sebagai respon balas kepada ciapan tular yang menuduh majikannya bertindak tidak adil kepada para pekerja seperti yang didakwa netizen.

Beliau dengan jelas menyatakan bahawa dia tidak ingin campur tangan dalam perbualan berkaitan isu kerja di Twitter, tetapi merasa tidak adil apabila majikannya hanya dilihat dari sudut negatif.