Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri enjin motosikal Yamaha RXZ dalam pekarangan IPD Kemaman, Julai lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd, di Mahkamah Sesyen Kemaman.

Baca Juga:

Memetik Free Malaysia Today, tertuduh didakwa mencuri enjin motosikal milik seorang wanita di tepi bangunan pejabat pegawai penyiasat trafik IPD Kemaman, kira-kira antara 12.45 tengah malam hingga 1.15 pagi, pada 20 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Memetik laporan itu lagi, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan Polis, Muhammad Afif Mohd Amir, manakala Faris Zahim diwakili peguam Masliela Ismail, lapor Sinar Harian.

Masliela merayu jaminan tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga serta berpendapatan rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 dengan seorang penjamin.

Wan Suhaila menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kemaman.