Bekas gitaris Search, Din melabel tindakan Amy Search sebagai keterlaluan dan melampau.

Din kecewa dengan tuduhan Amy bahawa dia dan adiknya, Kid telah merompak Search dengan tidak membayar sebarang royalti kepada anggota Search serta arwah Yazid.

Baca Juga:

Amy menagih di mana royalti mereka hasil daripada penjualan album Rockologi Search: Kid’Din Collection.

Album tersebut diterbitkan pada 2021. Memetik laporan Harian Metro, Amy berkata: “Saya tak halalkan. Kami juga berhak dapat royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang mereka keluarkan tanpa pengetahuan saya dan Nasir.”

Amy menganggap tindakan Din dan Kid ibarat merompak Search. Sedangkan dahulu mereka sama sama memerangi cetak rompak.

“Kepada Noordin dan Kid di mana kami punya royalti album yang anda jual?

“Itu hak kami termasuk anak dan isteri Allahyarham Yazit. Kau jual album, satu dokumen pun tiada. Kami satu sen pun tak dapat sedangkan kontrak digital yang kami tandatangan, mereka turut dapat bahagiannya.

Amy juga menyatakan bahawa dia lebih bengang apabila mengetahui bahawa Kid dan Din memberitahu salah seorang kawan mereka bahawa, pemberian royalti itu atas belas ehsan mereka bukannya satu kewajiban.

“Album itu terkandung lagu-lagu yang kami mainkan bersama. Mereka sudah melanggar Akta Hak Cipta dan bagaimana nak bayar royalti kami sedangkan tiada perjanjian membabitkan saya, Nasir dan Allahyarham Yazit,” kata Amy lagi seperti yang dilaporkan Vocket sebelum ini.

Amy kemudian menyindir: “Kalau dulu kita berkempen fasal cetak rompak, tapi hari ini kawan sendiri yang rompak hasil titik peluh bersama.”

Amy turut membayangkan bagaimana nasib warisnya nanti apabila dia sudah tiada, kalau hak waris arwah Yazit pun tidak dipedulikan Kid dan Din. Amy bertanya, adakah ahli keluarganya nanti harus merayu kepada Kid dan Din tentang hak mereka?

Din akhirnya memberikan respon ke atas perkara itu. Din benar benar kecewa dengan kenyataan Amy yang menurutnya sudah melampau.

Dipetik daripada BH Online, Din berkata: “Itu semua tak betul. Mereka sudah lebih dan melampau.”

Din menjelaskan mereka akan membuat sidang media seperti mana yang dinasihatkan oleh peguam mereka.

Din sedia menunjukkan bukti berkaitan perkara yang berbangkit dalam sidang media itu kelak.

Dalam pada itu seorang lagi anggota Search, Nasir meminta Kid dan Din menghentikan pembohongan dan adu domba. Dan menasihati bekas rakan sekumpulannya itu mencipta sahaja identiti sendiri.