Sudah menjadi lumrah, setiap individu mempunyai perjalanan hidup masing-masing. Terkadang terdapat individu yang diuji dengan Tuhan yang membuatkan mereka terpaksa membiasakan dengan norma baharu sesebuah kehidupan.

Itulah yang terjadi buah seorang pemilik kereta Perodua Myvi iaitu Amirul Afifi Mahyudin ini menerusi perkongsian di laman Facebook Myvi 3rd Generation Club Malaysia yang memaklumkan terpaksa membiasakan diri selepas diuji baru-baru ini.

Menerusi perkongsian, beliau yang bertongkat dan mengalami kecacatan pada bahagian kaki kanan memaklumkan hasratnya untuk kembali memandu kelak.

Walau bagaimanapun, pada ketika ini mungkin isterinya yang perlu memandu terlebih dahulu. Beliau juga memaklumkan berhasrat untuk mengubah pedal minyak ke sebelah kiri bagi memudahkan beliau.

Perkongsian yang penuh dengan kecekalan serta kuat semangat ini telah meraih ratusan komen daripada para netizen yang mendoakan lelaki ini.

Tidak kurang juga yang memberi cadangan kepada lelaki ini agar membuat kaki palsu atau memodifikasi kereta Myvi agar boleh menggunakan tangan untuk menekan pedal minyak.

Selain itu, terdapat juga netizen yang bertanyakan punca lelaki ini kehilangan kaki yang turut mendapat respon beliau yang memaklumkan beliau terlibat dengan kemalangan motorsikal sewaktu mahu ke tempat kerja.

Didoakan semoga lelaki ini terus kuat semangat serta cekal menempuh kehidupan. Semoga lelaki ini dapat kembali memandu semula menerusi modifikasi yang dibuat sesuai dengan dirinya.