Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (Mat Sabu) menyatakan jajahan Bachok menjadi perintis ternakan lembu wagyu di negara ini apabila ia diusahakan secara insentif dan bersungguh-sungguh oleh anak tempatan bumiputera.

Mat Sabu berkata beliau amat gembira dan berbangga dengan usaha berani itu kerana bidang ternakan tersebut disifatkan sebagai berprestij tinggi.

Baca Juga:

Beliau berkata sedemikian selepas melakukan lawatan ke Bachok untuk melihat sendiri Projek Pembiakan dan Penternakan Lembu Wagyu Milik Kelfram Sdn. Bhd yang terletak di Kampung Senang, Jelawat, semalam.

“Saya harap semua pihak termasuk agensi pusat dan negeri perlu bekerjasama dalam membantu mengembangkan lagi usaha ini.

“Apa yang dilakukan di Jelawat ini (Kampung Seneng) mampu berkembang dengan bantuan sains serta teknologi,” jelasnya.

Beliau turut meminta badan-badan kerajaan dapat memudahkan urusan supaya industri penternakan dapat berkembang pada masa akan datang.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Ladang Wagyu Kelfarm kerana berjaya membuktikan anak tempatan mampu berjaya dalam penternakan lembu Wagyu yang cukup tinggi nilainya.

“Saya mohon agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memberikan perhatian yang lebih kepada penternak-penternak yang ingin membesarkan perniagaan mereka. Permudahkan urusan supaya industri penternakan dalam negara dapat berkembang dengan lebih pesat,” petik perkongsian Instagram Mat Sabu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja memberitahu, ternakan lembu itu mempunyai potensi yang besar. Ini kerana permintaan terhadap daging wagyu agak tinggi terutama di Kuala Lumpur.

“Hotel-hotel lima bintang di Kuala Lumpur bukan semua ada menyediakan daging wagyu kerana bekalan masih belum mencukupi.

“Selain itu, saya percaya jika ada yang mahu melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha menggunakan lembu wagyu permintaannya ada terutama di Kuala Lumpur, Shah Alam, Damansara dan sekitarnya,” ujarnya.