Seorang doktor tampil berkongsi kisah paling menyedihkan dalam hidupnya apabila mengakui gagal menyelamatkan insan yang paling disayang, iaitu adik perempuannya, yang didakwa menjadi mangsa love scam sehingga menjejaskan kehidupan serta kewangan seluruh keluarga.
Menurut doktor berkenaan, beliau sebelum ini menyangka jenayah penipuan cinta hanya berlaku kepada orang lain seperti yang sering dilaporkan di media sosial dan akhbar. Namun sangkaan itu meleset apabila adiknya sendiri berkenalan dengan seorang lelaki melalui media sosial sekitar Februari lalu.
“Saya seorang doktor. Setiap hari saya merawat dan cuba menyelamatkan orang yang saya tidak kenal. Tetapi orang yang paling saya sayang Saya sendiri tidak mampu menyelamatkannya. Orang itu ialah adik perempuan saya,” tulis Syazwan Shah.
Menurut Syazwan, perkenalan mereka begitu pantas sebelum kedua-duanya merancang untuk berkahwin.
Lelaki tersebut dikatakan memperkenalkan dirinya sebagai individu yang mempunyai kerjaya tetap dalam sebuah agensi penguat kuasa, memiliki kewangan yang kukuh serta berpegang teguh kepada agama.
Atas kepercayaan terhadap cerita yang disampaikan adiknya, seluruh keluarga menerima hubungan itu tanpa banyak persoalan.
Majlis pernikahan berlangsung pada 26 Mac. Dan selepas perkahwinan itu, pelbagai perkara mula terbongkar.
Beberapa janji yang dibuat oleh pihak lelaki didakwa tidak ditunaikan, termasuk urusan berkaitan hantaran dan kos kenduri yang akhirnya terpaksa ditanggung keluarga pengantin perempuan.
Pada masa sama, keluarga turut mendakwa hanya mengetahui identiti sebenar lelaki itu selepas majlis berlangsung.
Menurutnya lagi, kehidupan adiknya berubah secara drastik selepas berkahwin. Adiknya jarang pulang ke rumah keluarga, kad kredit digunakan sehingga mencecah had maksimum, manakala sebuah kereta Mini Cooper yang dihadiahkan oleh ibu turut dijual.
Lebih membimbangkan, ibu bapanya turut dihubungi pemiutang, selain mendakwa terdapat cubaan menjual sebidang tanah milik keluarga tanpa pengetahuan mereka.
“Namun selepas majlis itulah satu demi satu perkara mula terbongkar.
“Ada janji yang tidak ditunaikan. Beberapa urusan kewangan akhirnya terpaksa ditanggung oleh keluarga kami.
“Hantaran yang dijanjikan tidak diberikan. Perbelanjaan kenduri yang sepatutnya diselesaikan oleh pihak pengantin lelaki juga tidak dibayar seperti yang dijanjikan.
“Dan pada ketika itulah, barulah kami benar-benar mengetahui nama penuh lelaki yang mengahwini adik saya .
“Sebelum itu kami hanya mengenalinya melalui nama panggilan Izz, Zam, Izam. Rupanya nama sebenar dia adalah: Muhammad Izham bin Zainuddin. Kalau anda google macam-macam info keluar,” tambah Syazwan.
Lelaki tersebut memang mencari perempuan untuk dijadikan mangsa.
Keadaan itu memberi kesan emosi yang mendalam kepada ibu bapanya.
Ibunya dikatakan sering menangis dan sukar tidur memikirkan nasib anak perempuan mereka, malah masih menghantar makanan kerana dimaklumkan anaknya tidak mempunyai wang.
Sebagai abang, beliau turut membantu melangsaikan tunggakan ansuran rumah adiknya yang tidak dibayar selama tiga bulan.
Keluarga berkenaan memaklumkan mereka telah membuat laporan polis serta menyerahkan semua dokumen dan bukti kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Mereka juga mendakwa menerima maklumat daripada beberapa individu lain yang berkongsi pengalaman hampir sama, dan semua maklumat tersebut turut diserahkan kepada pihak polis.
Melalui perkongsian itu, Syazwan berkenaan berharap masyarakat, khususnya ibu bapa, tidak memandang ringan hubungan yang berkembang terlalu cepat, terutama apabila melibatkan urusan kewangan dan perkahwinan.
Beliau menggesa keluarga supaya membuat semakan latar belakang pasangan serta berbincang dengan orang yang dipercayai sebelum mengambil sebarang keputusan besar, dengan harapan tiada lagi keluarga yang perlu melalui pengalaman pahit seperti yang dialami mereka.