Ramai anak muda di luar sana yang minum air manis viral kerana cukup mengiurkan lebih-lebih lagi segala manisan digabungkan lalu terhasilnya kombinasi yang mantap. Namun, kadar kalori dan gula yang tinggi langsung mendorong kepada masalah kesihatan yang serius tanpa kita sedari.

Baru-baru ini, seorang doktor dan juga bergelar pakar ortopedik terkenal memberikan respons berhubung sebuah video yang tular di X di mana memperlihatkan seorang peniaga menjual minuman yang tinggi kandungan gulanya susulan campuran pelbagai manisan dan juga perasa artificial.

Empunya badan iaitu Dr Mahyuddin lalu berkongsi pengalamannya melihat golongan muda yang memenuhi ruangan hospital dek kerana banyak minum manis.

“Rondaan wad pagi tadi, ada sorang pt dh potong 1 jari kaki tapi makin membusuk, terpaksa potong kaki bawah lutut, sorang lagi dah potong ibu jari smlm sbb jari hitam. Dua2 muda lagi”, kongsinya.

Susulan risau dengan perkembangan yang meruncingkan itu, dia langsung memberi pesanan kepada golongan muda untuk mengawal pengambilan minuman manis di samping berseloroh mengatakan jari yan dah dipotong dek kerana diabetes sudah tidak boleh tumbuh lagi seperti ekor cicak.

“Berpada2 la minum yg manis. Bila dh potong x tumbuh blk dah. Jari kaki bkn mcm ekor cicak”, pesannya kepada orang ramai.

Di sini, kita boleh menyimpulkan bahawa golongan muda semakin ramai yang menghidap penyakit kencing manis yang dipercayai berpunca daripada pengambilan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat dan tinggi kandung gulanya.

Pendedahan doktor terkenal tersebut langsung meraih perhatian netizen dan rata-ratanya meluahkan kerisauan dengan pengambilan makanan dan minuman manis masing-masing pada saban hari kerana tiada melakukan pengawalan.

Ini tidak kira lagi yang turut berkongsi majoriti rakyat Malaysia yang malas bersenam serta amalan diet yang mendorong kepada masalah kesihatan serius tambah-tambah lagi apabila sering mengambil makanan dan minuman viral seperti tiada hari esok.

Walaupun ada yang bercadang memperkenalkan cukai terhadap manisan, sebahagian netizen lain mendakwa selalunya makanan atau minuman sebegini jauh lebih murah membuatkan ramai memilih mendapatkannya berbanding pilihan yang sihat.