Dua doktor yang memiliki kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.

Memetik Berita Harian, Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.

Difahamkan Punita, 36, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.

Sumber Gambar: Parents

Dalam kejadian itu, Punita yang melahirkan anak keduanya mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.

Dr Ravi memberi jaminan bahawa Punita stabil dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar untuk memantau keadaan pesakit sebelum meninggalkan klinik untuk keluar minum.

Dr Shanmugam juga turut keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang di bawah pengawasan tiga jururawat terbabit.

Bagaimanapun, ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas. Kedua-dua doktor terbabit pula tidak hadir pada saat kritikal ini.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang namun keadaannya sudah kritikal kerana telah hilang banyak darah dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).

Sumber Gambar: Bernama

Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.

Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norliza Othman menyebut doktor berkenaan gagal bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kes kecemasan sedemikian.

“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.

“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit.

“Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya.

Hakim Norliza turut menegaskan peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dan memantau keadaannya dengan teliti dan tidak meninggalkan mangsa dalam jagaan jururawat.