Doktor Razin Jaafar berpandangan bahawa doktor tidak sepatutnya terlalu kedekut dalam memberikan cuti sakit atau MC kepada pesakit yang benar-benar memerlukan rehat.

Menurut beliau, ada keadaan di mana pesakit datang ke klinik dalam keadaan demam, keletihan dan tidak cukup rehat.

Dalam situasi seperti itu, doktor perlu melihat keadaan pesakit secara menyeluruh sebelum menentukan tempoh cuti yang sesuai.

“Kalau kau demam macam ini, lima hari baru segar. Kalau demam tak berapa baik lagi, janganlah terus kerja. Bila nak baiknya?” katanya yang merujuk kepada ada pesakit yang memerlukan 4-5 hari untuk sembuh sepenuhnya kerana demam.

Jadi Doktor Razin menegur rakan-rakan sejawatan yang kedekut nak memberikan cuti sakit.

Menurutnya: “Saya kalau pesakit yang datang ini adalah orang yang bekerja, saya paling suka bagi mereka ini MC. Sebab bagi saya, mereka ni tak cukup rehat.

“Kalau mereka masih sakit terus masuk kerja semula, bila masa dia nak sembuh?”

Beliau turut menjelaskan bahawa memberikan MC bukan bermaksud doktor “menjual” cuti sakit. Sebaliknya, MC perlu diberikan berdasarkan penilaian doktor terhadap keadaan pesakit.

“MC bukan untuk dijual. Kita [klinik kami] tak jual MC. Kita akan beri kalau orang itu memang perlukan, tengok keadaan dia,” jelasnya.

Razin turut mengingatkan doktor supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap golongan pekerja yang mungkin terlalu penat atau sakit tetapi tetap memaksa diri untuk bekerja siang dan malam.

“Doktor-doktor semua, kasihanilah rakyat jelata ini. Kalau anda lihat mereka kepenatan, bekerja dalam keadaan sakit, berilah mereka cuti yang lebih panjang jika perlu,” katanya.

Menurut beliau, MC mempunyai kuasa yang besar kerana majikan juga sukar mempertikaikan keputusan doktor apabila seseorang pekerja benar-benar memerlukan rehat.

“Cuti doktor ini sebenarnya berharga dan berkuasa. Bos pun takut. Bos besar pun takut tengok MC, tak boleh lawan doktor,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan doktor tidak boleh menyalahgunakan kuasa tersebut. MC bukan untuk diberikan sesuka hati, tetapi perlu berdasarkan keadaan dan keperluan sebenar pesakit.

@arrasyidinacademy

“Boss2 besar pun takut MC doktor” @Dr Razin Jaafar @Kalislab @Dr Hanzalah Mizi #mc #doktor #rakyat #boss #takut

♬ Come Holy Spirit – Josué Novais Piano Worship

Dalam masa sama, Razin turut menyentuh kepentingan membentuk insan yang mempunyai nilai kemanusiaan. Menurutnya, sifat prihatin dan belas kasihan boleh dilatih melalui pengalaman hidup, kerja sosial serta contoh yang baik daripada mentor.

Bagi beliau, doktor juga perlu menunjukkan akhlak dan sikap yang baik kerana mereka bukan sekadar merawat pesakit, tetapi turut menjadi contoh kepada masyarakat.

Pendek kata, mesej Razin jelas: jangan jual MC, tetapi jangan kedekut MC apabila pesakit memang sakit dan memerlukan rehat.