Kelahiran cahaya mata merupakan detik yang paling bermakna bagi setiap ibu bapa. Walau bagaimanapun, di sebalik kegembiraan menyambut ahli keluarga baharu, tanggungjawab penting yang perlu disegerakan adalah mendaftarkan kelahiran anak secara rasmi.

Menurut Menteri Dalam Negeri, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail berkata perkara yang nampak asas ini sebenarnya membawa kesan besar kepada masa depan seseorang jika tidak diurus dengan betul sejak awal.

Berikut adalah panduan lengkap mengenai proses pendaftaran kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Tempoh Pendaftaran Kelahiran

Ibu bapa perlu peka dengan tempoh masa yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan:

Pendaftaran Biasa: Pendaftaran mestilah dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran anak.

Daftar Lewat Kelahiran: Mana-mana permohonan yang dibuat selepas tempoh 60 hari akan dianggap sebagai daftar lewat kelahiran. Kes daftar lewat akan dibawa ke Jawatankuasa/Panel JPN dan prosesnya memakan masa yang lebih lama kerana memerlukan penelitian fakta kes yang mendalam.

Siapa Yang Layak Membuat Pendaftaran?

Proses pendaftaran ini tidak semestinya dilakukan oleh bapa sahaja. Individu yang bertanggungjawab atau diberikan kuasa untuk membuat pendaftaran adalah:

1. Ibu atau bapa kandung

2. Penjaga yang sah

3. Individu yang diberi kuasa

Dokumen Yang Diperlukan

Sebelum hadir ke kaunter JPN, pastikan anda telah menyediakan dokumen-dokumen penting berikut:

1. Borang permohonan yang lengkap.

2. Dokumen pengenalan diri ibu dan bapa.

3. Sijil nikah atau dokumen perkahwinan (jika berkaitan).

4. Dokumen pengesahan kelahiran daripada pihak hospital atau bidan.

5. Dokumen sokongan lain yang diminta oleh pihak JPN.

Kenapa Pendaftaran Kelahiran Ini Penting?

Mendaftarkan kelahiran anak bukan sekadar urusan biokrasi, malah ia melibatkan hak asasi seorang anak. Antara kepentingan utama mendaftarkan kelahiran adalah:

Pengesahan Identiti: Memastikan identiti individu anak disahkan secara rasmi oleh kerajaan.

Melindungi Hak Kewarganegaraan: Menjamin hak kewarganegaraan anak terpelihara sejak lahir.

Urusan Persekolahan: Memudahkan segala urusan pendaftaran sekolah anak pada masa hadapan.

Akses Kesihatan: Memudahkan anak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan kerajaan.

Pengeluaran MyKad: Menjadi dokumen asas yang penting untuk urusan pengeluaran MyKad apabila anak mencecah usia 12 tahun.

Perlindungan Undang-undang: Memberikan perlindungan hak dari segi perundangan negara kepada anak tersebut.

Jangan bertangguh dalam urusan pendaftaran kelahiran. Sokongan dan tindakan segera daripada pasangan amatlah penting bagi memastikan masa depan, identiti, dan kebajikan anak sentiasa terpelihara

Ikuti langkah yang ditetapkan dan laksanakan tanggungjawab anda sebagai ibu bapa yang prihatin.