DPMM FC kini bersedia untuk merancakkan saingan Liga Malaysia selepas kelab profesional dari Brunei itu telah menandatangani perjanjian penyertaan bersama Malaysian Football League (MFL) selama tiga musim bermula musim 2025-2026.
Majlis Menandatangani Penyertaan DPMM FC Dalam Liga Malaysia 2025-2028 telah berlangsung dengan penuh simbolik di Hotel Thistle, Johor Bahru pada 3 Jun 2025.
Baca Juga:
- MFL Umum DPMM FC Sertai Liga Super 2025-2026
- Lanjutkan Tarikh Permohonan Lesen, Penang FC Tegur MFL
- Piala MFL Dimansuhkan Bagi Ringankan Beban Kelab
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, En. Mohd Shazli Shaik Mohd dan Pengurus Besar DPMM FC, En. Md Ali Haji Momin hadir menandatangani perjanjian penyertaan itu disaksikan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan bersama Pengurus Pemasaran DPMM FC, En. Momin Md Jaafar.
Selamat Kembali DPMM FC
Perjanjian ini menyaksikan kelab itu sah bertanding dalam kempen Liga Super bermula musim 2025-2026, menandakan kemasukan semula kelab tersebut ke dalam saingan bola sepak profesional tanah air selepas kali terakhir menyertai Liga Super pada tahun 2008.
Malaysia dan Brunei memiliki sejarah tersendiri dalam arena bola sepak apabila Brunei pernah menyertai pertandingan Piala Malaysia pada 1979 buat kali pertama dan kemudian Liga Semi-Pro pada 1989.
Brunei pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kemudian kelab tersebut menyertai saingan Liga Super dengan pencapaian terbaik menduduki tangga ketiga liga pada 2005-2006.
Kerjasama yang dimeterai merupakan sebahagian daripada inisiatif MFL untuk memperkukuhkan nilai kompetitif liga, sekali gus meraikan kerjasama dua hala dalam pembangunan bola sepak serantau serta mengukuhkan perpaduan bola sepak ASEAN.
“Kami di MFL amat berbesar hati dan mengalu-alukan penyertaan rasmi DPMM FC ke dalam Liga Malaysia bagi musim 2025-2026.”
“Ini bukan sahaja menandakan kemasukan semula sebuah kelab yang memiliki ikatan sejarah cukup kuat dengan Malaysia malah memberi makna baharu kepada semangat persaingan dan hubungan serantau antara Malaysia dan Brunei.
“Kami percaya ini juga adalah sebahagian daripada agenda strategik MFL dalam memperkukuhkan nilai kompetitif Liga Super dan membuka ruang kepada kerjasama dua hala yang lebih luas di rantau ini.”
“Dengan reputasi, pengalaman dan profesionalisme yang dimiliki oleh DPMM FC, dapat menyuntik dimensi baharu kepada landskap bola sepak tempatan dan memberikan impak positif kepada jenama Liga Super,” jelas Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.
Pengurus Besar DPMM FC, En. Md Ali Haji Momin menyatakan keterujaan untuk melihat pasukan itu membuat penampilan semula di pentas Liga Super selepas beraksi di Liga Singapura dan mengharapkan penyertaan ini dapat memberikan pengalaman yang berbeza kepada setiap pemain.
“Kami di pihak DPMM FC pastinya gembira kerana dapat kembali bersaing dalam kancah Liga Malaysia yang memiliki jenama cukup besar di rantau ini.”
“Kami sedar dengan kualiti yang ada pada setiap kelab Liga Super yang pastinya memberikan cabaran hebat buat kelab DPMM FC.”
“Ini lah yang kami mahukan dan kami berharap dengan kehadiran DPMM FC dapat turut sama memeriahkan lagi saingan di Liga Super.”
“Liga Malaysia memang dekat dengan penyokong-penyokong di Brunei, saya percaya mereka juga tidak sabar dengan penyertaan DPMM FC pada musim baharu ini.”
“Apa yang kami harapkan, cabaran ini akan dapat meningkatkan kualiti pemain kami selain mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.