Semalam Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyatakan lantikan warden dalam kalangan guru dilihat lebih sesuai untuk sekolah berasrama penuh di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Pada pagi tadi, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) memuat naik hantaran Facebook menyatakan sebab mengapa mengambil warden sepenuh masa dikalangan bekas tentera.

Baca Juga:

“Ramai Guru MRSM mengadu terbeban untuk berjaga lebih 12 malam ‘round’ asrama kemudian sambung pula seawal 7 pagi ke kelas. BULI tidak berlaku sebelum 12 malam.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa pendekatan memilih bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama itu terbaik.

“Cuma MARA melihat ada keperluan mendesak untuk tangani BULI yang makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dengan mewujudkan WARDEN SEPENUH MASA,” jelas beliau.

5 sebab bekas tentera lebih layak jadi warden sepenuh masa

1. Guru MRSM ramai mengadu bahawa mereka sudah cukup terbeban dengan tugas hakiki untuk mengajar.

2. Guru MRSM yang bertugas sebagai Warden tidak akan mampu berjaga setiap malam dan melakukan pemantauan di asrama. Paling lama pun pukul 12 tengah malam kerana mereka perlu berada di Maktab seawal 6.30 pagi keesokannya.

3. Aktiviti tidak bermoral seperti BULI lazimnya tidak berlaku sebelum pukul 12 tengah malam atau waktu akademik. Sebab itulah ketiadaan warden yang memantau secara berterusan pada waktu-waktu berisiko seperti ini membuka ruang untuk BULI berlaku.

4.  Elaun yang kecil sekadar RM300 tambahan sebagai Warden tidak berbaloi dengan tanggungjawab tambahan yang terpaksa digalas oleh guru.

5. Lebih berkesan jika Warden yang bertugas sepenuh masa di asrama dilantik untuk memfokuskan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik bermula 6 atau 7 petang.

Dapat maklum balas cikgu semasa sesi Terjah

Menurutnya, beliau mendapat maklum balas daripada para cikgu menerusi lawatan-lawatan mengejut yang dilakukannya sebelum ini.

“Maklumbalas seperti ini saya perolehi apabila saya sering melakukan #Terjah ke Institusi-Institusi Pendidikan di bawah MARA termasuk MRSM.

“Jika saya memilih untuk hanya mempengerusikan Majlis MARA dan membuat satu-satu polisi atau dasar dari bilik berhawa dingin, mana mungkin saya dapat menyelami dan memahami situasi dan kondisi sebenar di bawah dan akar umbi,” kata Dr Asyraf.

Tambah beliau, program rintis yang sedang berjalan dan masuk bulan ketiga di beberapa MRSM selesai dalam tempoh 6 bulan tempoh penilaian.

Selepas 6 bulan, pasukan penyelidik yang merupakan pihak ketiga dan bebas daripada UPM akan membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif MARA tersebut.

“InsyaAllah saya pasti akan kongsikan dapatan kajian sama ada positif mahupun negatif, untuk diangkat kepada YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri yang bertanggung jawab ke atas MARA untuk membuat keputusan sekaligus berkongsi dapatan ini dengan Jemaah Menteri,” kongsi beliau.