Bermula dari kosong, usaha sepasukan anak muda ini kini mampu mewujudkan sebuah klinik di Kemboja. Pada usia yang masih hijau, hasil usaha anak-anak muda ini adalah satu perkara untuk dibanggakan, tambahan lagi, ia adalah merupakan klinik pertama diwujudkan oleh rakyat Malaysia di sana.

Hospitals Beyond Boundaries (HBB) adalah sebuah badan kerajaan (NGO) yang diwujudkan dengan tujuan memberi khidmat kesihatan di tempat-tempat yang paling memerlukan. Mereka sedang dalam usaha membangunkan sebuah hospital di Kemboja.

Kami berpeluang menemurah pengasas dan Pengarah Eksekutif HBB, Dr Mohd Lutfi Fadil bin Lokman yang berusia 28 tahun, mengenai hasil usaha beliau dan HBB.

Ikuti temu ramah kami di bawah:


Assalamualaikum Dr Lutfi Fadil Lokman yang dimuliakan, terima kasih kerana sudi memberi kami peluang untuk menemubual Dr. Berikut adalah soalan-soalannya:

  1. Boleh ceritakan serba sedikit tentang latar belakang Tuan Dr.

    Nama saya Mohd Lutfi Fadil bin Lokman. Lahir pada 24 Oktober 1987, sekarang berumur 28 tahun.

    hbb02
    Klinik HBB di Phnom Penh, Kemboja. (HBB)

    Saya merupakan pengasas dan Pengarah Eksekutif HBB dan juga bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Sungai Buloh, merupakan bekas pelajar MRSM Jasin (sekarang MRSM Tun Ghafar Baba), kemudian melanjutkan pelajaran peringkat pra-Universiti di Kolej MARA Seremban, dan seterusnya ijazah sarjana perubatan di bawah program twinning antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjajaran di Indonesia.

    3 tahun pertama saya belajar di Universitas Padjajaran, 3 tahun terakhir pula di Fakulti Perubatan UKM, Cheras, Kuala Lumpur.

  2. Boleh ceritakan apakah itu Hospitals Beyond Boundaries (HBB).

    Hospitals Beyond Boundaries (HBB) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan misi memberi khidmat kesihatan di tempat-tempat yang paling memerlukan.

    hbb01
    Projek Klinik Mobile pada 28 hingga 31 Ogos 2014 di Pulau Perhentian. (HBB)

    Kami mencapai misi ini melalui pembinaan klinik-klinik dan hospital-hospital yang tidak berasaskan keuntungan.

    Selaras dengan nama pertubuhan kami, kami melihat ‘beyond the hospital boundaries’, bererti kami juga menitikberatkan keadaan pesakit di luar hospital, termasuk keadaan tempat tinggal, nutrisi dan pendidikan kesihatan.

    Kami percaya bahawa kemiskinan dan kesihatan adalah dua perkara yang sangat berkait rapat.

    Kami berpegang pada prinsip “cukupkah jika kita hanya merawat pesakit dan kemudian menghantar mereka pulang kepada keadaan asal yang menjadikan mereka sakit?”

  3. Apakah fokus utama HBB, dan perbezaannya dengan NGO lain.

    Fokus utama HBB adalah menyediakan khidmat kesihatan komuniti, terutamanya kepada golongan yang kurang mampu.

    hbb10
    Projek Klinik Mobile pada 10 hingga 13 Oktober 2014 di Kemboja. (HBB)

    Di Malaysia dan Asia Tenggara, banyak NGO telah diwujudkan bagi memberi bantuan kemanusiaan ketika berlaku musibah seperti perang, banjir, kemarau dan lain-lain.

    Namun, tidak banyak NGO yang ditubuhkan khas untuk membina semula komuniti setelah musibah-musibah ini berakhir.

    Walhal, cabaran utama sesebuah komuniti setelah berlakunya musibah adalah untuk bangkit semula dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan.

    HBB memfokus pada membina komuniti bukan dengan kebergantungan terhadap bantuan derma semata, tetapi dengan menaik taraf ekonomi penduduk sekitar seperti dengan memberi peluang pekerjaan di klinik dan hospital kami sebagai pekerja kesihatan komuniti.

    Ini sedikit sebanyak membebaskan komuniti daripada kebergantungan kepada bantuan luar, dan akhirnya berjaya meningkatkan taraf hidup sendiri.

  4. Sejak bilakah HBB dimulakan dan bagaimana ia bermula.

    Secara tidak formalnya HBB dimulakan pada 2011 apabila seorang pemuda bernama Ustaz Muhammad Kausara (Ustaz Kausar) yang berasal dari golongan Melayu-Champa di Kemboja datang ke rumah saya atas jemputan keluarga saya untuk memberi ceramah tentang keadaan umat Islam di Kemboja.

    hbb11
    Projek Klinik Mobile pada 10 hingga 13 Oktober 2014 di Kemboja. (HBB)

    Kebanyakan ahli keluarga saya berlatar belakangkan perubatan, di mana ayah dan kakak saya juga merupakan doktor, dan ibu saya seorang pegawai farmasi.

    Jadi kami tertanya-tanya tentang keadaan kesihatan mereka di sana. Ustaz Kausara sempat menceritakan keadaan kesihatan masyarakat Melayu-Champa di Kemboja yang juga sangat daif dan memerlukan bantuan perubatan, terutamanya rawatan bagi ibu mengandung dan anak kecil.

    Ayah saya merupakan yang pertama memberi idea bahawa mungkin sebuah klinik atau hospital harus dibina di sana bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.

    Namun, idea tersebut kekal sebagai hanya sebuah idea selama lebih 1 tahun, sehinggalah tercetus idea untuk menubuhkan HBB secara formal (bersambung di soalan bawah).

  5. Apa yang mencetuskan idea untuk menubuhkan HBB.

    Sejak dari tahun pertama Universiti lagi saya sudah memasang cita-cita untuk mendirikan sebuah NGO sendiri.

    hbb9
    Projek Klinik Mobile pada 10 hingga 13 Oktober 2014 di Kemboja. (HBB)

    Kedatangan Ustaz Kausara menyemarakkan lagi idea yang telah lama dipendam, namun saya tidak pernah mendapat keyakinan penuh kerana sering merasakan saya harus habis belajar dahulu, bekerja sebagai seorang doktor, menyambung kepakaran, dan setelah itu barulah sesuai untuk memulakan sebuah NGO.

    Sehinggalah pada awal tahun 2012, saya ditimpa kemalangan sewaktu bermain ‘outdoor game’ di mana kecederaan di telinga dan kepala saya menyebabkan cecair otak keluar dari telinga kiri, membuatkan saya tidak boleh jalan dengan seimbang dan menyebabkan telinga kiri saya sentiasa mendengar bunyi berdesing yang kekal sehinggalah ke hari ini.

    Saya terpaksa dimasukkan ke dalam wad selama 2 minggu kerana harus diberikan antibiotik melalui saluran darah bagi mengelakkan jangkitan ke selaput otak.

    Saya benar-benar tertekan sewaktu di dalam wad, seolah-olah masa depan saya telah hancur.

    Pada waktu itulah saya merasakan bahawa hidup ini boleh jadi sangat singkat, dan teringat kepada cita-cita saya untuk berbakti kepada masyarakat melalui penubuhan NGO.

    Maka saya bernazar, sekiranya saya boleh berjalan semula dengan seimbang, saya akan kejar cita-cita saya untuk menubuhkan NGO.

    Alhamdulillah setelah beberapa bulan berlatih berjalan semula, saya boleh bangkit semula dan berjalan seperti biasa.

    Waktu itulah saya bertemu dengan teman-teman rapat dan mengajak mereka untuk turut serta dalam penubuhan HBB.

    Kami mendaftarkan HBB di bawah ROS pada 22 Mei 2012.

    Pada mulanya kami berlima, dan sekarang kami mempunyai 13 ahli komiti.

  6. Apakah aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh HBB.

    Sebelum adanya klinik kami di Kemboja, aktiviti kami lebih kepada klinik mobile di mana kami memberi rawatan percuma kepada penduduk sekitar beberapa bulan sekali.

    hbb3
    30 orang pelajar dari 3 universiti: Penang Medical College, University College Dublin and Curtin University Sarawak, sedang melakukan aktiviti sosial bersama HBB di Kemboja, bermula dari akhir 2015 hingga awal 2016 selama 2 minggu (masih berlangsung ketika artikel ini ditulis).

    Aktiviti kami pada 2 tahun pertama juga banyak berfokuskan pada promosi dan fundraising untuk membina hospital.

    Sehinggalah awal tahun 2015, kami kira kami sudah cukup dana untuk memulakan sebuah klinik kecil yang akan dijalani oleh seorang doktor, seorang jururawat dan dua orang pembantu jururawat.

    Klinik kami dirasmikan pada Jun 2015.

    Semua staf di klinik HBB merupakan penduduk dari komuniti sekitar klinik, dan mereka dibayar gaji setiap bulan oleh kami dengan harapan sedikit sebanyak menaikkan taraf ekonomi mereka dari masa ke semasa.

  7. Apakah perubahan yang Dr nampak berlaku setelah kehadiran HBB ke kawasan-kawasan yang dikunjungi. Apakah juga impak kepada sukarelawan?

    Klinik kami didirikan dan dirasmikan pada Jun 2015.

    Selama 6 bulan belum banyak perubahan yang dapat dilihat, namun apa yang membanggakan adalah kebanyakan penduduk mengetahui kewujudan klinik kami dan memanggilnya “Klinik Malay”, yang bererti “Klinik Malaysia”, kerana bendera Malaysia jelas dilihat di papan tanda klinik.

    hbb4
    Sukarelawan dari Curtin University, Sarawak di Klinik HBB, Kemboja. (HBB)

    Bagi saya ini adalah salah satu cara kami membanggakan tanah air: klinik pertama di Kemboja yang dibina oleh rakyat Malaysia.

    Kebanyakan sukarelawan mengatakan pengalaman mereka menyertai aktiviti kami adalah sesuatu yang tak mungkin mereka dapat lupakan.

    Saya sangat gembira kerana banyak sukarelawan yang kenal sewaktu HBB akhirnya menjadi teman baik sehinggalah ke hari ini.

    Group whatsapp HBB yang diwujudkan pada setiap trip tidak pernah sunyi walaupun setelah beberapa tahun trip tersebut berakhir.

    Ini menunjukkan impak aktiviti kami yang mewujudkan keakraban di kalangan sukarelawan.

  8. Apakah perancangan HBB untuk masa hadapan.

    Tujuan asal kami adalah untuk membina hospital.

    Sekarang kami sudah mempunyai tanah yang cukup untuk membina sebuah hospital kecil. Ianya bersebelahan dengan klinik kami sekarang.

    hbb5
    Usahasama HBB bersama-sama Beyond Borders dan AusRelief. (HBB)

    Perancangan masa terdekat adalah untuk mendapat dana dan seterusnya mendirikan hospital ini.

    Hospital ini akan memfokus pada kesihatan ibu mengandung dengan fasiliti ruangan bersalin yang sangat kondusif.

    Perancangan jangka masa panjang kami adalah untuk mewujudkan satu system kesihatan komuniti yang berkesan, agar model system ini dapat direplikasi di tempat-tempat lain seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak di Malaysia, sekitar Asia Tenggara, dan insyaAllah seluruh dunia.

  9. Bagaimana muda-mudi khasnya pembaca Vocket dapat melibatkan diri dalam aktiviti HBB.

    Kami membuat trip ke kemboja setiap 2 bulan.

    Pembukaan pendaftaran sukarelawan adalah berdasarkan trip-trip ini.

    hbb8
    Projek Klinik Mobile pada 10 hingga 13 Oktober 2014 di Kemboja. (HBB)

    Hampir 2 bulan sebelum trip seterusnya, pembukaan akan diwarwarkan di Facebook page kami Hospitals Beyond Boundaries.

    Jadi, untuk menjadi sukarelawan, harap dapat ‘like’ page kami agar sebarang informasi tentang pembukaan pendaftaran sukarelawan dapat diketahui apabila tiba masanya.

    Selain itu, sudah pasti bantuan dana sangat-sangat diperlukan.

    Pembaca dapat melibatkan diri dengan menganjurkan apa-apa event untuk fundraising bagi pihak HBB.

    Pihak HBB akan berusaha menyediakan segala material untuk event/ kempen yang ingin dilakukan, samada di sekolah, kampus, universiti atau tempat kerja.

  10. Bagaimana hendak mengetahui informasi terkini atau berhubung dengan HBB?

    hbb7
    Mengajar masyarakat setempat di Kemboja tentang menggosok gigi. (HBB)

    Seperti di atas, informasi terkini boleh didapati di Facebook page kami dan laman Twitter @beyondHBB. HBB boleh dihubungi dengan emel saya secara langsung di [email protected] atau emel rasmi kami: [email protected].

  11. Pesanan terakhir untuk pembaca The Vocket.

    Pesanan saya adalah sama seperti dalam penulisan saya di Facebook semalam.

    hbb6
    Klinik HBB, Phnom Penh, Kemboja

    Saya tengok banyak anak muda yang ada idea besar, samada memulakan bisnes baru, NGO atau keusahawanan sosial, takut atau segan untuk approach orang lain untuk membantu.

    Banyak merasakan idea mereka kurang bernas, tidak sehebat idea orang lain, atau ingin tunggu sehingga lebih berjaya dahulu sebelum approach orang-orang berpengaruh untuk membantu. Nasihat saya: jangan tunggu!

    Bagi HBB, mungkin sekarang kami lebih senang untuk mendapat keyakinan orang ramai kerana kami sudah pun mempunyai sebuah klinik yang dijalankan oleh staf-staf, doktor dan jururawat di Kemboja.

    Tetapi 3 tahun lepas, percayalah, kami tak punya apa-apa: tiada wang, tiada tanah, tiada bangunan, tiada staf. Yang ada cuma satu idea gila yang dikongsi oleh sekumpulan pelajar.

    Namun kami tetap semangat mempromosi dan meyakinkan orang ramai untuk turut membantu.

    Waktu di PICC Putrajaya, kami tidak cukup wang untuk menyewa satu booth event yang berharga RM2000+.

    Namun kami tetap berdegil lalu meminta pihak penganjur untuk memberi kami ruang kecil di antara dua booth lain dengan harga yang lebih murah.

    Mungkin kerana melihat semangat kami, Alhamdulillah pihak penganjur bersetuju untuk memberi ruang itu dengan percuma. Saya ingat itu adalah booth fundraising pertama HBB.

    Di booth itulah kami bertemu dengan banyak orang yang datang melihat pembentangan idea kami.

    Di situlah kami mendapat sumbangan derma pertama, banyak orang yang menyokong dan memberi tips dan nasihat, dan tak kurang juga yang memperlekehkan idea kami dengan mengingatkan kami bahawa membina sebuah hospital memerlukan kepakaran dari segi kejuruteraan, keusahawanan, perubatan dan undang-undang. Kami belajar pon tak habis lagi!

    Tapi kami tak pernah segan dengan idea kami.

    Dari situ, kami terus mempromosi dari satu tempat ke tempat yang lain, dan ianya membawa kami bertemu banyak orang yang turut sama mengikuti perjuangan kami.

    3 tahun telah berlalu, dari bantuan satu orang ke orang yang lain, akhirnya sekarang kami mempunyai sebuah klinik di perkampungan orang Islam di Kemboja, dengan fokus membantu mereka yang tidak mampu membiayai kos rawatan kesihatan.

    InsyaAllah tahun hadapan kami akan memulakan pembinaan hospital di tanah bersebelahan klinik kami.

    Jadi saranan saya untuk anak muda yang bercita-cita merealisasikan satu idea gila, jangan segan, mula!

    Kejayaan diraih dengan mencipta sesuatu yang anda betul-betul boleh berbangga dengan – sesuatu yang benar-benar mengubah hidup insan lain.

    Inilah yang akan membuat anda tidak tidur malam dan bangkit di awal pagi.

    Pilihlah sesuatu yang betul-betul anda suka dan minat, jangan terpedaya dengan definisi kejayaan orang lain.

    Setiap orang mempunyai idea tersendiri dengan kejayaan, tetapi bagi saya yang penting adalah membuat sesuatu yang menjadikan kita gembira.

    Adakah apa yang kami lakukan setakat ini dipandang sebagai kejayaan?

    Saya tak tahu, tapi ia memang membuat kami merasa gembira, itu sudah cukup buat kami.

    Sungguh indah hidup ini jika pekerjaan harian kita bukan sekadar mengejar kejayaan dunia, tetapi sebenarnya ia adalah jalan usaha untuk meraih kejayaan akhirat. InsyaAllah…

    Sekarang kami dalam proses fundraising untuk membina sebuah hospital ibu dan anak di tanah bersebelahan klinik kami sekarang. Marilah turut serta menderma untuk pembangunan hospital ini dan rawatan mereka yang sangat memerlukan di: www.donate.hbb.org.my

    Maklumat lanjut pertubuhan kami: www.hbb.org.my

    Terima kasih banyak kerana sudi menemuramah, saya harap penulisan ini dapat diterbitkan di The Vocket agar lebih ramai dapat mengetahui kewujudan kami dan pada masa yang sama membuka ruang untuk menyumbang. Terima kasih.


Tonton dua video ini juga untuk mengetahui tentang HBB dengan lebih lanjut:

BACA: Bagaimana Sampah Kitar Semula Dijadikan Insuran Kesihatan Oleh Startup Doktor Muda Ini

BACA: Tip Selamatkan Gigi Yang Tertanggal Daripada Seorang Doktor Gigi

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram