Jenama kasut ikonik British, Dr. Martens, kembali mencuri perhatian dengan pengenalan dua rekaan but terbaharu berasaskan tapak Zebzag, yang mula menjadi fenomena selepas kejayaan Zebzag Mules musim panas lalu.
Kali ini, Dr. Martens memperluaskan legasi tapak berprofil unik itu ke dalam bentuk but yang direka untuk gaya sepanjang tahun — mudah dipakai, praktikal, dan kekal bergaya.
Menurut Adam Meek, Ketua Pegawai Produk Dr. Martens, rekaan tapak Zebzag dihasilkan dengan mengambil kira keperluan kehidupan moden yang sentiasa bergerak pantas. “Tapak Zebzag direka khas bagi memenuhi tuntutan kehidupan moden — menggabungkan ketukangan terserlah, ketahanan dan keselesaan harian.

Siluet but baharu ini bergerak bersama anda, masuk dengan mudah ke dalam apa jua gaya, sambil mengekalkan identiti Dr. Martens yang tidak dapat disangkal,” jelasnya.
Koleksi baharu ini hadir dengan dua varian utama — Zebzag Laceless Boot dan Zebzag Rigger Boot — masing-masing menampilkan karakter tersendiri tetapi berkongsi DNA klasik Dr. Martens yang digemari ramai.
Zebzag Laceless Boot diinspirasikan daripada model ikonik 1460, namun diberi nafas baharu dalam bentuk slip-on tanpa tali.

Rekaan ini mengekalkan elemen estetik klasik tetapi dengan pendekatan lebih santai, sesuai untuk pemakai moden yang menghargai keselesaan tanpa mengorbankan gaya.
Dibalut dengan kulit Wyoming hitam yang lembut, but ini tampil kemas dan versatil — lengkap dengan heel loop hitam dan kuning berjenama Dr. Martens, tanda pengenalan yang tidak boleh dipisahkan daripada identiti jenama tersebut.
Sementara itu, Zebzag Rigger Boot pula tampil sedikit lebih rendah pada bahagian buku lali dan diinspirasikan daripada siluet industri.
Namun, ia diolah semula untuk memberi keselesaan seolah-olah berada di rumah. Slip-on ini dilengkapi dwi penarik (dual pull-tabs) dan jahitan Puritan stitch, menyerlahkan sentuhan utilitarian yang sofistikated.

Model ini boleh didapati dalam pilihan kulit Wyoming hitam atau Milled Nubuck kalis air yang hadir dalam beberapa warna menarik.
Di sebalik rekaannya yang bergaya, kekuatan utama kedua-dua model ini terletak pada tapak Zebzag itu sendiri — hasil gabungan midsole EVA ringan dan tapak PVC tahan lama, memberikan kusyen yang empuk dan tahap keselesaan optimum.
Reka bentuknya ringkas namun ergonomik, menjadikannya pilihan sesuai untuk dipakai sepanjang hari. Seperti semua keluaran Dr. Martens, but ini juga dilengkapi jahitan welt kuning ikonik, alur tapak berlekuk, serta SoftWair insoles untuk sokongan dalaman tambahan.
Kedua-dua Zebzag Laceless Boot dan Zebzag Rigger Boot akan mula dijual di seluruh dunia bermula September 2025, sementara tapak Zebzag dijangka turut menjadi tumpuan dalam koleksi Dr. Martens Autumn/Winter 2025 (AW25).
Dengan kombinasi gaya klasik, fungsi moden, dan sentuhan ketukangan yang tidak lapuk dek zaman, koleksi ini menandakan satu lagi langkah penting dalam evolusi Dr. Martens — dari simbol subkultur ke ikon fesyen global yang terus bereksperimen tanpa melupakan akarnya.