Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini.
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2025.
Memetik hantaran rasmi Facebook Sultan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara pada hari ini (7 Mac), turut dihadiri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mendahului penerima, YB Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dikurniakan Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima Darjah Kebesaran S.M.W ialah Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk kepada sembilan penerima antaranya YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi; Datuk Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Datuk Zulharry Abdul Rashid, Penasihat Undang-Undang Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mahkota Wilayah (J.M.W) kepada enam penerima, Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W) kepada lima penerima, Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W) kepada empat penerima dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W) kepada 6 penerima.