Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkongsi satu kisah menyentuh hati mengenai pemberian tidak disangka-sangka sewaktu beliau menghadiri program Jaulah Ilmiah di Kedah, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, beliau kelihatan mencuba sepasang kasut larian berjenama antarabangsa, On, di sebuah cawangan butik sukan.

Dr. Zulkifli menceritakan bahawa beliau secara peribadi lebih selesa dan kerap mengenakan sandal dalam urusan harian berbanding kasut bertutup.

Bagaimanapun, pemakaian kasut larian sememangnya jauh lebih praktikal dan selesa apabila melibatkan perjalanan yang jauh.

“Secara jujurnya, saya lebih kerap memakai sandal berbanding kasut kerana lebih mudah dan selesa. Namun, untuk perjalanan yang jauh, kasut tentunya lebih sesuai dan memudahkan pergerakan.

“Kebetulan pada hari tersebut, saya terlupa memakai kasut dan hanya bersandal ketika menaiki pesawat ke destinasi,” jelas beliau.

 

View on Threads

 

Melihat keadaan tersebut, seorang sahabat yang prihatin bertindak membawanya dan menghadiahkan sepasang kasut larian model On berkenaan.

“Kasut ini sesuai untuk berjalan jauh kerana reka bentuknya memang sesuai untuk running,” ujar sahabatnya sewaktu menyerahkan kasut tersebut.

Mengulas mengenai pemberian berkenaan, Dr. Zulkifli menzahirkan rasa syukur serta menyifatkannya sebagai rezeki yang tiba tepat pada waktu dan keperluan.

“Kadangkala, rezeki hadir dalam bentuk yang kita tidak sangka tetapi tepat pada saat kita memerlukannya. Terima kasih sahabat yang menghadiahkan kasut ini. Semoga Allah SWT membalas kebaikan dengan sebaik-baik ganjaran, melapangkan rezeki dan memberkati setiap langkah kehidupan,” titip beliau.

Menutup coretan itu dengan nada santai dan berseloroh, beliau turut mempelawa para pengikutnya untuk beriadah bersama.

“Jangan tanya saya pace berapa. Ada yang hendak teman easy run bersama?” seloroh beliau.